HOOPER ketika mengadili perlawanan United menentang Wolves.
HOOPER ketika mengadili perlawanan United menentang Wolves.
Reuters

London: Simon Hooper, Michael Salisbury dan Richard West tidak akan bertugas hujung minggu ini selepas menafikan penalti Wolverhampton Wanderers ketika tewas kepada Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.

Wolves yakin mereka sepatutnya diberikan penalti pada masa kecederaan selepas penjaga gol United Andre Onana mengasari Sasa Kalajdzic ketika cuba menepis hantaran jauh.

Keputusan berakhir dengan kekalahan Wolves 1-0. Hooper bertugas mengadili perlawanan manakala Salisbury dan West mengawasi video bantuan pengadil (VAR).

Pengurus Wolves Gary O'Neil berkata kegagalan pengadil memberikan penalti menunjukkan kelemahan VAR dan pengurus pengadil Jon Moss memohon maaf di atas kesilapan itu.

"Jon Moss berkata ia jelas penalti yang sepatutnya diberikan dan dia meminta maaf," kata O'Neil kepada wartawan.

"... Tetapi terima kasih kepada Jon yang menjelaskan situasi sebenar. Dia sukar mempercayai kenapa pengadil tidak memberikan penalti dan pelik kenapa VAR tidak campur tangan.

"Ia mungkin membuatkan saya berasa teruk kerana anda tahu anda betul. Saya diberitahu mereka tidak fikir ia kesalahan yang jelas."

Salisbury turut digugurkan pada April lalu selepas Brighton & Hove Albion tidak diberikan penalti ketika tewas 1-2 kepada Tottenham Hotspur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 8:15 PM