HARIMAU Malaya dicabar berada dalam kelompok 15 terbaik Asia. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
HARIMAU Malaya dicabar berada dalam kelompok 15 terbaik Asia. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Impian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk skuad Harimau Malaya berada dalam kelompok 15 pasukan terbaik Asia bukanlah angan-angan kosong.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, berdasarkan kepada prestasi skuad Harimau Malaya yang positif sejak kebelakangan ini, mereka dilihat mampu bersaing dengan pasukan Asia lain untuk berada di kedudukan lebih baik.

Malah, pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari tahun depan bakal menjadi ujian utama dan medan untuk melihat keupayaan sebenar Harimau Malaya di pentas Asia.

"Sasaran atau pun matlamat kita memang nak berada dalam kelompok terbaik Asia. Sasaran yang diletakkan FAM itu memang bagus, sama ada tercapai atau tidak kita boleh tengok dalam masa terdekat.

"FAM kena ada sasaran, kalau tidak kita tak tahu arah tuju. Maknanya, pasukan kena buat lebih baik di Piala Asia nanti dan saya berasa itu cabaran dari Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin untuk Harimau Malaya.

"Soal berapa lama untuk kita boleh capai kelompok 15 terbaik itu kena tengok persembahan pasukan di Piala Asia. Kejohanan itu akan akan menentukan sama ada kita boleh capai dalam masa singkat atau tidak," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan FAM bercita-cita tinggi apabila meletakkan harapan skuad Harimau Malaya mampu berada dikelompok 15 terbaik di Asia kelak.

Harapan menggunung itu disuarakan Hamidin yang melihat kejayaan positif secara konsisten dicapai skuad Harimau Malaya mampu merealisasikan impian itu.

Beliau berkata, ketika ini adalah masanya mereka menguji pasukan di kedudukan ranking yang lebih baik bermula dengan aksi berdepan Syria dan China, September ini.

Mengikut rekod, skuad bimbingan Kim Pan-gon ketika ini berada pada kedudukan ke-24 di Asia dan juga keempat di Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 2:02 PM