HAMIDIN bangga pencapaian skuad bola sepak negara.
HAMIDIN bangga pencapaian skuad bola sepak negara.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yakin hala tuju bola sepak negara berada pada landasan tepat menuju ke tahap Asia seperti mana digariskan dalam Peta Hala Tuju F:30 yang dilancarkan pada 2018 lalu.

Malah, F:30 yang sudah memasuki kitaran kedua atau fasa kedua dari 2023 hingga 2026 menyaksikan skuad senior Harimau Malaya berjaya menempatkan diri dalam kalangan 24 pasukan terbaik benua ini selepas layak secara merit ke Piala Asia di Qatar Januari depan.

Bukan pasukan utama sahaja, skuad cilik iaitu pasukan bawah 17 (B-17) tahun negara juga layak ke Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand yang akan berlangsung Jun ini, dengan sasaran wajib mara hingga ke separuh akhir bagi membolehkan pasukan meraih tiket ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau mahu prestasi dan momentum pasukan kebangsaan bermula daripada skuad junior hingga ke pasukan senior ketika ini dikekalkan seperti mana disasarkan dalam F:30.

Justeru, Hamidin mahu skuad negara mengekalkan konsisten layak secara merit dalam saingan tertinggi Asia selepas ini, sekali gus akan memberi kesan positif kepada peningkatan ranking Malaysia.

"Kalau kita lihat F:30 punya kitaran ini, 2023 hingga 2026 adalah untuk pergi ke taraf Asia, sebelum kita pergi ke kitaran terakhir nanti. Jadi saya ingat kita ada atas landasan, di mana apabila kelayakan Piala Asia bermula lagi untuk edisi selepas ini, kita kena pastikan skuad kita daripada B-16, B-19, B-23 dan juga senior ini mesti ada dalam kelompok 16 ataupun 24 pasukan terbaik.

"Jadi itu kita perlu pastikan, kerana ia secara tak langsung akan menaikkan kedudukan ranking Fifa kita...ia akan menaikkan mata. Jadi perancangan itu penting, dan pasukan kita di mana jurulatih Kim Pan-gon (pengendali skuad senior) bersama Pengarah Teknikal akan menganalisis untuk pastikan kita berada di tahap itu," katanya.

Sasaran utama F:30 menjadikan pasukan negara sebagai salah satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030 di mana pelan itu salah satu simbol keseriusan FAM untuk mengubah landskap bola sepak negara.

F:30 dipecahkan kepada tiga pelan strategik dengan fasa pertama menjurus kepada membina asas kukuh tadbir urus baik, persaingan, serta pembangunan modal insan serta infrastruktur.

Fasa kedua (2023-2026) disasarkan untuk menjadikan pasukan negara bertaraf Asia, manakala fasa ketiga (2027-2030) melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 5:10 PM