NAFUZI harap pemainnya tidak mengulangi kesilapan ketika tewas 1-3 di tangan Perak pada aksi Piala Malaysia, Khamis lalu. FOTO KDA FC
NAFUZI harap pemainnya tidak mengulangi kesilapan ketika tewas 1-3 di tangan Perak pada aksi Piala Malaysia, Khamis lalu. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu memastikan kelemahan ketika tewas pada aksi saingan Piala Malaysia, tidak berulang apabila melayan kunjungan skuad Sri Pahang FC pada saingan Liga Super ke-19 di Stadium Darul Aman, malam esok.

Ketua Jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain berkata, kekalahan 1-3 kepada Perak, Khamis lalu, menjadi pengajaran berguna buat pemainnya agar lebih berwaspada apabila melayan Sri Pahang FC, yang kini bersaing sengit untuk menduduki kelompok teratas Liga Super.

"Kami berada di tangga ketiga dan Sri Pahang di tangga keempat, jadi ini peluang kami untuk menjarakkan kedudukan dengan mereka.

"Kami perlu menang dan tidak boleh keciciran mata pada aksi ini dan kekalahan kepada Perak membuatkan kami sedar serta belajar daripada setiap kelemahan.

"Yang pasti, kami perlu bangkit apabila menentang Sri Pahang di laman sendiri kali ini dan memperbaiki persembahan pasukan dengan memberi sepenuh komitmen," katanya.

Nafuzi sedar Sri Pahang FC semakin mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas liga dan memiliki jentera serangan berbisa.

Sehubungan itu, katanya, pemain di semua posisi perlu berfungsi dengan baik dan tersusun seperti dirancang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 7:31 PM