NAFUZI mahu pemain ambil iktibar terhadap kekalahan di luar jangkaan sebelum ini. FOTO KDA FC
NAFUZI mahu pemain ambil iktibar terhadap kekalahan di luar jangkaan sebelum ini. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mahu pemainnya lebih berwaspada apabila melayan kunjungan Perak FC di Stadium Darul Aman, malam esok.

Menurut Nafuzi, skuadnya perlu lebih berhati-hati dan mengambil iktibar dari setiap kekalahan di luar jangkaan yang pernah dialami Sang Kenari sebelum ini, sebelum mendapat suntikan motivasi selepas menewaskan Sabah FC, 2-1, Jumaat lalu.

"Meskipun menang 4-1 ke atas Perak FC pada perlawanan sulung liga Februari lalu, kami tetap perlu lebih berwaspada dengan kemampuan dan kebangkitan mereka.

"Bukan mudah jika menentang pasukan dianggap pasukan bawahan kerana sebelum ini ada kejutan yang berlaku dalam liga apabila pasukan besar tewas mengejut.

"Malah, kami pernah mengalami situasi itu dan perlu ambil setiap pengajaran berguna apabila menentang Perak FC kali ini.

"Pasukan yang tewas, mestilah tidak mahu terus kecewa dan mereka akan cuba untuk bangkit memburu keputusan positif dan menghukum pasukan yang lalai," katanya.

Nafuzi berkata, perancangan skuadnya kini adalah meneruskan fokus dan mengekalkan momentum kemenangan di laman sendiri bagi memastikan kedudukan dalam kelompok atasan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 3:39 PM