RICE (kiri) dan Havertz adalah dua pemain baharu yang menjadi sandaran Arsenal bagi musim depan. FOTO AFP
RICE (kiri) dan Havertz adalah dua pemain baharu yang menjadi sandaran Arsenal bagi musim depan. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta mencabar skuad Arsenal yang berbelanja besar supaya menunjukkan sesuatu menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berdepan pemenang treble, Manchester City pada perlawanan Perisai Komuniti, Ahad ini.

Anak buah Arteta menetapkan sasaran untuk mengatasi City, sekali gus membalas dendam kesakitan akibat dipintas di saat akhir ketika perebutan takhta liga, musim lalu.

Selepas berbelanja besar lebih £200 juta (RM1.157 bilion) untuk mendapatkan pemain tengah England, Declan Rice; penyerang Jerman, Kai Havertz dan pertahanan Belanda, Jurrien Timber, Arsenal memiliki peluang awal untuk menunjukkan persediaan mereka bagi menamatkan era City sebagai juara liga tiga kali berturut-turut.

Arsenal menamatkan saingan EPL musim lalu dengan lima mata ketinggalan di belakang anak buah Pep Guardiola, sekali pun mendahului dengan lapan mata pada April.

Justeru, Arteta sedar perlawanan persahabatan glamor di Wembley, hujung minggu ini, memberi peluang untuk menunjukkan kehebatan mereka.

"Sudah tentu. Selepas apa yang kami lakukan musim lalu, ramai orang bercakap mengenai apa bakal berlaku berikutnya," kata Arteta.

"Di akhirnya, ia mengenai bermain lebih baik dan mempunyai hak untuk menang pada setiap perlawanan.

"Kami membawa masuk beberapa pemain penting, sama seperti pasukan lain, tetapi di Arsenal, anda perlu menanganinya."

Perlawanan pembuka tirai bagi kempen liga utama Inggeris itu tidak selalunya menjadi penanda tepat terhadap kesudahan saingan, tetapi tetap menjadi pembuka selera sempurna bagi EPL, yang bermula dengan kunjungan City ke Burnley pada 11 Ogos.

Perlawanan sulung Arsenal adalah melayan Nottingham Forest beberapa jam kemudian, yang boleh dianggap perlawanan ulangan dengan kelab yang menamatkan pemburuan gelaran mereka susulan kemenangan 1-0 di City Ground, Mei lalu.

Pada ketika Arsenal berkobar-kobar untuk menjulang trofi EPL buat kali pertama sejak 2004, anak buah Guardiola perlu membuktikan mereka tetap dahagakan gelaran.

Mengesahkan status sebagai antara kelab bola sepak Inggeris terhebat sepanjang zaman, musim lalu, City menjadi kelab kedua memenangi treble apabila merangkul trofi EPL, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala FA dalam semusim, sekali gus menyamai pencapaian Manchester United pada musim 1998/99.

Dua bulan selepas jaringan tunggal Rodri menamatkan kemarau City di UCL apabila menewaskan Inter Milan di final, anak buah Guardiola kembali ke padang untuk menghasilkan satu lagi tahun emas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 10:31 AM