ALIF Ikmalrizal (kanan) menanduk masuk gol tunggal skuad B-23 negara ketika tewas 1-4 kepada Vietnam di separuh akhir Piala AFF B-23 di Rayong, Thailand, hari ini. FOTO FB FAM
ALIF Ikmalrizal (kanan) menanduk masuk gol tunggal skuad B-23 negara ketika tewas 1-4 kepada Vietnam di separuh akhir Piala AFF B-23 di Rayong, Thailand, hari ini. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pertahanan tengah skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara nyata menjadi lubuk buat jentera serangan B-23 Vietnam yang meledak empat gol mudah untuk mara ke final Kejuaraan AFF B-23 di Stadium Rayong, di Thailand, hari ini.

Malaysia yang muncul juara Kumpulan B terpaksa akur tewas 1-4 di separuh akhir selepas rangkaian pemain skuad muda Naga Emas itu bijak memanfaatkan kelonggaran benteng negara sepanjang aksi itu.

Malah, kekalahan itu menyaksikan misi untuk layak ke final musnah, sekali gus bakal beraksi untuk penentuan tempat ketiga dan keempat, petang Sabtu ini.

Pada aksi itu, kem negara dikejutkan gol pertama lawan hasil sentuhan Dinh Xuan Tien di minit kelapan selepas dia bijak memanfaatkan hantaran lintang rakan sepasukannya .

Kerapuhan bahagian tengah benteng negara terus dihukum dengan gol kedua dan gol ketiga, masing-masing melalui rembatan luar kotak penalti Nguyen Quoc dan Xuan Tien di minit ke-32 serta ke-44.

Ketinggalan tiga gol memaksa E Elavarasan membuat rombakan kecil dengan memasukkan Fergus Tierney di babak kedua.

Hasilnya pasukan negara merapatkan defisit kepada 1-3 hasil jaringan Alif Ikmalrizal Anuar yang menanduk cantik hantaran Aliff Izwan Yuslan di minit ke-49.

Gol terbabit menyuntik semangat pemain negara yang terus menekan kubu Vietnam bagi memburu tambahan gol.

Bagaimanapun, gawang negara bocor lagi pada minit ke-85 hasil tampanan mudah Nguyen Hong Phuc untuk memastikan pasukannya pada prestasi terbaik mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 7:11 PM