TFC bakal menentang   Bali United, Stallion Laguna FC dan Central Coast Mariners dalam Kumpulan G Piala AFC.
TFC bakal menentang Bali United, Stallion Laguna FC dan Central Coast Mariners dalam Kumpulan G Piala AFC.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Terengganu FC (TFC) bakal meraih suntikan semangat sebelum bermula Piala AFC apabila dijangka menerima dana tambahan daripada Kerajaan Negeri Terengganu bagi menghadapi saingan tertinggi Asia itu.

Ia dikongsikan pengurus pasukan TFC, Mohd Fadhil Wahab yang percaya suntikan dana itu bakal menambah moral barisan pemain untuk beraksi di peringkat Asia nanti.

Ujarnya, buat masa ini pihaknya belum ada maklumat mengenai perkara itu namun dia berasakan tiada masalah untuk perkara terbabit.

"Setakat ini belum ada maklumat dari Kerajaan Negeri tetapi saya rasa pasti akan ada suntikan dana. Untuk kejohanan Piala AFC ini saya rasa tiada masalah untuk dana daripada Kerajaan Negeri, katanya ketika ditemui selepas majlis undian Piala AFC di Rumah AFC di sini, kelmarin.

Terdahulu, naib juara Liga Super musim lalu itu diundi dalam kumpulan sukar apabila perlu berdepan juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners dalam Kumpulan G.

Dua lagi pasukan juga dilihat cukup hebat membabitkan juara Liga Satu Indonesia 2021-2022 iaitu Bali United serta bekas juara divisyen satu Filipina 2013 lalu, pasukan Stallion Laguna FC.

Ditanya tentang sasaran, Fadhil tidak menetapkan sebarang sasaran khusus sebaliknya pasukan akan memberi saingan terbaik nanti.

"Sudah tentu bagi saya cabaran terbesar adalah daripada pasukan Australia kerana mereka dibarisi ramai pemain kebangsaan.

"Tetapi tak dapat dinafikan bahawa pasukan-pasukan lain juga mampu beri cabaran yang hebat," katanya.

Skuad Penyu dijadual memulakan saingan Piala AFC dengan menentang Central Coast Mariners pada 20 September ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 4:07 PM