YUSRI meraikan jaringan Seonung. FOTO BERNAMA
YUSRI meraikan jaringan Seonung. FOTO BERNAMA
Izzali Ismail


Alor Setar: Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah bersyukur jaringan lewat pemain importnya, Seo Seonung memastikan The Bos Gaurus mara ke suku akhir Piala Malaysia menerusi agregat 4-3 meskipun tewas 1-2 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Darul Aman, semalam.

Menurut Yusri, gol tunggal yang dihasilkan di hujung babak kedua itu begitu bermakna selepas skuadnya hanya beraksi dengan 10 pemain kerana pemain gantiannya, Khairul Asyraff Ramli dilayangkan kad merah minit ke-54.

"Apabila ketinggalan serta kurang seorang pemain, ia seperti menamatkan perjuangan kami. Tetapi Alhamdulillah jaringan yang amat diperlukan itu akhirnya tercipta.

"Seo Seonung tampil menjaringkan gol yang amat diperlukan. Topeng muka yang dipakainya itu baru sampai pagi tadi (semalam), dan dia perlukan masa untuk sesuaikan diri memakai topeng muka itu.

"Dia memaklumkan kepada saya yang dia menjaringkan gol itu bukan dengan kepala tetapi hidungnya sebab dia terlalu takut. Saya bersyukur atas semua usaha yang dilakukannya itu dan ia juga memberi keyakinan untuk semua pemain ketika beraksi," katanya.

Tambah Yusri, kejayaan skuad The Bos Gaurus melangkah ke suku akhir adalah hasil percaturan yang dirancang sebelum perlawanan selain kerjasama yang baik daripada semua pemain.

"Kami tidak hadir ke Kedah hanya untuk bertahan selepas memilki kelebihan dua jaringan. Kami cuba mengimbangi perlawanan dan apabila ketinggalan dengan hanya 10 pemain, saya tidak ada pilihan selain meletakkan lima pertahanan.

"Sebenarnya mengikut rekod dan sejarah, Perak FC memang sukar untuk menang di Kedah, jadi apabila ketinggalan dua gol, saya sudah terbayang Darul Aman ini sentiasa memberi igauan buruk buat saya dan Perak .

"Walaupun kalah 1-2 , tetapi saya bersyukur kerana kami berjaya layak secara agregat 4-3," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 4:59 PM