YUSRI Che Lah bersama pemain Perak FC ketika menjalani latihan terakhir di Johor Bahru menjelang aksi timbal balik Piala Malaysia menentang JDT, di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO FB Perak FC
YUSRI Che Lah bersama pemain Perak FC ketika menjalani latihan terakhir di Johor Bahru menjelang aksi timbal balik Piala Malaysia menentang JDT, di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO FB Perak FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah akan mempertaruhkan kesebelasan terbaik bagi mengharungi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim(JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Walaupun ramai yang berpendapat kemenangan sudah pastinya berpihak kepada Harimau Selatan, namun Yusri tidak mahu mengangkat bendera putih terlalu awal apabila bersedia memberikan tentangan sengit dalam usaha memperoleh keputusan positif.

Beliau berkata, beberapa tonggak utama ketika ini berada pada tahap optimum sekali gus boleh diturunkan menentang pasukan berpengkalan di selatan tanah air itu.

"Kita merehatkan beberapa tonggak pada perlawanan Liga Super baru-baru ini bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik apabila beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.

"Jika dilihat pada keputusan sebelum ini, kita ketinggalan dengan tiga jaringan namun saya fikir pemain mampu melakukan sesuatu dalam usaha meraih keputusan positif," katanya.

Mengikut rekod, pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia menyaksikan skuad Bos Gaurus tewas 1-4 kepada JDT pada aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.

Sementara itu, tonggak Perak FC Wan Zack Haikal Wan Noor berkata, barisan pemain bersedia untuk memberikan terbaik pada pertemuan penting yang berlangsung di gelanggang lawan.

"Perlawanan menentang JDT dilihat misi sukar tapi sebagai pemain kami kena terus berusaha selagi permainan belum berakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 1:32 PM