AKSI antara Kedah dan Perak semalam bagi saingan Piala Malaysia. FOTO Bernama
AKSI antara Kedah dan Perak semalam bagi saingan Piala Malaysia. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar : Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain meluahkan rasa kecewa apabila harapan skuadnya untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini lebur.

Kedah tewas secara agregat 3-4 meskipun berjaya mencipta kemenangan 2-1 ke atas Perak FC pada aksi kedua pusingan 16 akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman semalam.

Menurutnya, kesilapan sendiri menjerat skuadnya selepas mendahului dengan dua jaringan bermula dengan sepakan penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-26 dan disusuli gol kedua oleh pemain pertahanan Akmal Zahir pada minit ke-82 sebelum penyerang import Perak, Seo Seonung menghasilkan gol buat The Bos Gaurus pada minit ke-85 perlawanan.

"Dari awal hingga ke saat akhir perlawanan, kami sudah beri segala-galanya dengan keinginan serta usaha yang tinggi untuk mengatasi kelebihan gol Perak namun cuma kesilapan kita di perlawanan besar akhirnya dihukum dan gagal layak ke saingan suku akhir.

"Dari segi permainan dan usaha pemain saya rasa saya puas hati kerana dari awal permainan kami hadir dengan intensiti tinggi dan mencuba peluang hingga mendapat jaringan 2-0.

"Mungkin kita agak terdesak mahu buat tindakan cepat dan kadangkala keputusan yang kita hendak buat itu salah walaupun dari segi usaha, pemain sudah beri segala-galanya dan kita akhirnya kita kecewa kerana kita tak layak ke suku akhir," katanya selepas tamat aksi perlawanan semalam.

Nafuzi juga memaklumkan usaha untuk menambah jaringan juga terus digerakkan pada babak kedua dengan memasukkan penyerang kedua, Jonathan Balotelli dan pemain sayap, Fayadh Zulkifli selepas Perak yang hanya beraksi dengan 10 pemain berikutan Khairul Asyraff Ramli dikenakan kad merah pada minit ke-54 selepas mengasari Amirbek Juraboev.

"Kita cuba meningkatkan lagi serangan di babak kedua apabila memasukkan Balotelli dan Fayadh untuk mencari gol tambahan namun kesilapan kita di hujung perlawanan itu membuatkan kita dibolosi dan terpaksa lupakan Piala Malaysia pada musim ini.

"Untuk meneruskan baki perlawanan pada musim ini, kita akan fokus seterusnya pada saingan liga selepas ini bagi memastikan kedudukan kita kukuh dan dapat terus berada di kelompok atasan Liga Super," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 11:41 AM