HAMIDIN. FOTO FB FAM
HAMIDIN. FOTO FB FAM
Zulfaizan Mansor


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berjaya menjimatkan kira-kira RM3 juta kantung mereka hasil hubungan baik presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin dengan pemimpin bola sepak negara lain.

Jumlah itu termasuk ketika Harimau Malaya terbang awal ke Qatar bagi Piala Asia 2023, Januari lalu yang mana kos penginapan dan perbelanjaan selama dua minggu awal berjumlah hampir RM1 juta dibiayai oleh Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) kerana hubungan baik Hamidin dengan presiden persatuan berkenaan.

SAFF turut membiayai kos RM600,000 ketika skuad wanita negara dijemput ke kejohanan di Arab Saudi tahun lalu selain pasukan bawah 17 (B-17) tahun juga menikmati hasil hubungan baik Hamidin apabila dibiayai oleh Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) untuk kem latihan pusat selama hampir sebulan pada Ramadan tahun lalu yang mana kosnya sekitar RM700,000.

Sekali lagi hubungan baik dengan Presiden QFA turut membantu FAM menjimatkan kos sekitar RM700,000 untuk skuad B-23 negara yang terbang awal dua minggu ke Qatar sejak 1 April lalu untuk persiapan menjelang Piala Asia B-23 2024 yang akan bermula minggu depan.

Hubungan baik Hamidin dengan pemimpin bola sepak negara lain dibantu oleh pengaruhnya termasuk dipilih sebagai salah seorang Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 1 Februari tahun lalu.

Jawatan itu penting dalam membantu meletakkan nama Malaysia di pentas bola sepak antarabangsa, selain faedah lain yang dapat diperoleh.

Malah, Hamidin juga adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan badan induk itu.

Justeru, di sebalik tanggapan ramai bahawa Hamidin tidak sepatutnya menerima gaji bulanan kerana hanya meningkatkan beban kewangan FAM, ia sebenarnya nyata meleset apabila kehadiran beliau lebih banyak membawa kebaikan dan keuntungan kepada badan induk itu.

Semalam, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Ong Kim Swee berpendapat jawatan Ahli Majlis FIFA yang dimenangi Hamidin memainkan peranan cukup penting untuk beliau terus memegang jawatan Presiden FAM.

Kim Swee yang juga bekas Pengarah Teknikal FAM turut menyifatkan satu kerugian besar buat bola sepak Malaysia sekiranya Hamidin meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM.

"Apa guna kita ada beliau (Hamidin) masih sebagai Ahli Majlis FIFA tetapi FAM pula diterajui individu lain yang tiada pengaruh di peringkat FIFA mahupun AFC?

"Lagipun kita boleh lihat, hubungan baik beliau dengan pemimpin bola sepak antarabangsa memudahkan kita untuk mendapat bantuan terutama dari segi penjimatan perbelanjaan pasukan kebangsaan apabila berlatih dan menyertai pertandingan di luar negara.

"Hubungan baik beliau dengan SAFF dan QFA contohnya menjimatkan jutaan ringgit apabila saya difahamkan bahawa pihak SAFF dan QFA yang membantu membiayai kos ketika pasukan kita berada di negara berkenaan.

"Malah, kredibiliti beliau juga membolehkan kita mendapat jurulatih asing yang berkaliber bagi membimbing pasukan kebangsaan seperti Kim Pan Gon (bola sepak), Soleen Al Zoubi (skuad wanita) dan Rakphol Sainetngam (futsal). Satu lagi kejayaan atau sumbangan besar beliau untuk FAM," kata Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 4:50 PM