SOLEEN berkata kejohanan itu membuka peluang untuk skuad wanita negara beraksi dalam persekitaran berintensiti tinggi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SOLEEN berkata kejohanan itu membuka peluang untuk skuad wanita negara beraksi dalam persekitaran berintensiti tinggi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad bola sepak wanita negara, Malayan Tigress, akan menyertai kejohanan persahabatan antarabangsa anjuran Konfederasi Bolasepak Arab Saudi (SAFF) di Taif, Arab Saudi dari 18 hingga 30 September ini.

Ketua jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi, berkata siri perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 itu turut disertai pasukan Laos, Pakistan, Bhutan, Lubnan dan tuan rumah, Arab Saudi.

Katanya, kejohanan itu membuka peluang untuk skuad wanita negara beraksi dalam persekitaran berintensiti tinggi selain dapat menjalinkan hubungan strategik di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan SAFF.

"Jika kita lihat kepada ranking kesemua pasukan bertanding, ia dapat memberi faedah kepada pelan jangka panjang skuad wanita negara daripada aspek teknikal serta memberi peluang untuk mereka beraksi dalam persekitaran yang berprestasi tinggi.

"Selain itu, kita juga boleh mengadakan program pertukaran sebagai inisiatif pembangunan pemain selain mempersiapkan barisan pemain kebangsaan ini untuk perlawanan antarabangsa di masa hadapan," katanya menerusi kenyataan FAM, hari ini.

Malaysia yang kini menghuni ranking ke-89 dunia diundi dalam kumpulan A bersama Arab Saudi (170) dan Pakistan (157)) manakala kumpulan B pula menyaksikan Laos (87) bersama Lubnan (138) dan Bhutan (171).

Berdasarkan format kejohanan, saingan kumpulan akan berlangsung secara liga sepusingan di mana dua pasukan teratas layak ke separuh akhir pada 27 September dan seterusnya dua pasukan yang menang akan bertemu di pentas final manakala dua pasukan tewas akan beraksi pada penentuan tempat ketiga pada 30 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 9:50 PM