PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. FOTO ihsan FB Sri Pahang FC
PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. FOTO ihsan FB Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mahu memanfaatkan tempoh rehat dua minggu aksi Liga Super untuk memperbaiki kelemahan.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, kekalahan besar 0-4 kepada Sabah FC pada 15 Julai lalu perlu dijadikan pengajaran berguna anak buahnya.

"Saya harap pemain dapat melupakan kekalahan itu dan kembali bangkit untuk mempamerkan prestasi lebih baik, sebaik aksi liga bersambung nanti.

"Kesilapan mudah ketika tewas kepada Sabah akan diperbaiki segera untuk memastikan Sri Pahang kembali lebih bagus.

"Lupakan kekalahan itu dan fokus untuk membentuk pasukan yang lebih mantap terutama kembali mencatat kemenangan bagi meletakkan kedudukan terbaik.

"Selepas ini corak permainan lebih agresif dan semangat juang tinggi perlu dipersembahkan dalam usaha meletakkan kedudukan terbaik liga," katanya.

Selepas 17 perlawanan, skuad Tok Gajah menghuni kedudukan keempat dengan mengutip 34 mata.

Kekalahan besar kepada Sabah menyebabkan Sri Pahang turun satu tangga berbanding sebelumnya berada di kedudukan ketiga.

Justeru, Sri Pahang yang akan melayan kunjungan Perak FC di Stadium Darul Makmur pada 30 Julai ini, seharusnya memanfaatkan kelebihan di halaman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 3:47 PM