FADHLI (kiri) awasi kebangkitan Perak.
FADHLI (kiri) awasi kebangkitan Perak.
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC bakal tampil dengan semangat baharu menjelang perlawanan dengan Perak FC di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Pemain berpengalaman skuad Tok Gajah, Fadhli Shas berkata, kekalahan 0-4 kepada Sabah FC pada 15 Julai lalu, sudah dilupakan.

"Insya-Allah, semoga semuanya pada prestasi prestasi terbaik dan mempamerkan semangat baharu untuk kembali mencatat kemenangan.

"Kebangkitan sudah pasti akan dipersembahkan terutama memanfaatkan tempoh dua minggu tanpa perlawanan dengan memperbaiki kelemahan.

"Saya percaya berdepan Perak Ahad ini, kami bangkit dan membantu memperbaiki kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super," kata pemain pertahanan itu.

Namun, Fadhli bersama rakan sepasukan akan lebih berhati-hati dengan peningkatan prestasi yang dipersembahkan Perak ketika ini.

Katanya, fokus utama adalah untuk bangkit mencipta kemenangan terutama memanfaatkan kelebihan di halaman sendiri.

"Kami akan melakukan segalanya untuk memastikan tiga mata milik Sri pahang," katanya.

Selepas mengharungi 17 perlawanan, skuad kendalian Fandi Ahmad berada di kedudukan keempat liga dengan 34 mata manakala Perak pula berada di kedudukan ke-11 dengan mengutip 13 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 5:20 PM