RAHADIAZLI tekad tambat hati jurulatih negara, Kim Pan-gon. FOTO Ghazali Kori
RAHADIAZLI tekad tambat hati jurulatih negara, Kim Pan-gon. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penjaga gol berpotensi skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Rahadiazli Rahalim tekad untuk menambat hati pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon selepas tersenarai dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Penjaga gol Terengganu FC (TFC) berusia 21 tahun itu juga berazam untuk membuat penampilan pertamanya di pentas antarabangsa bersama skuad senior selepas kali kedua dipanggil menjalani latihan pusat.

Bagaimanapun pemain yang lebih mesra dipanggil 'Abey' itu sedar ia bukan tugas mudah buatnya untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad negara yang bakal beraksi dalam Kejohanan 48 King's Cup di Chiang Mai, Thailand bermula 22 September ini.

Selain Rahadiazli, dua lagi penjaga gol yang turut disenaraikan dalam kem latihan pusat Harimau Malaya termasuk penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Syihan Hazmi dan penjaga gol Petaling Jaya City FC (PJ City FC), Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

"Ini peluang terbaik buat saya untuk menambat hati jurulatih negara, Pan-gon ketika sesi latihan selepas kali kedua terpilih menjalani latihan bersama kem skuad kebangsaan.

"Insya-Allah jika diberi tanggungjawab sebagai penjaga gol utama, saya tekad untuk membuktikan kemampuan lebih-lebih lagi ianya bakal menjadi penampilan pertama bersama skuad senior kebangsaan di pentas antarabangsa.

"Namun saya jangkakan saingan untuk merebut posisi utama pasti sengit dan mencabar kerana dua lagi penjaga gol tidak kurang hebatnya.

"Ini kerana saya tidak lihat ianya satu kelebihan walaupun saya paling tinggi dan muda berbanding dua lagi penjaga gol, ianya bukan jaminan kerana masing-masing ada kelebihan dan kemampuannya yang tersendiri," katanya yang akui musim 2022 banyak kenangan suka dan duka terutama selepas pasukannya mara ke final Piala FA sebelum tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu lalu.

Skuad negara yang kini berada di ranking 148 dunia bakal menentang tuan rumah, Thailand yang berada di ranking 111 dunia pada 22 September ini di Stadium 700th Anniversary.

Jika berjaya melakar kemenangan ke atas skuad kendalian Alexandre Polking itu, skuad negara layak ke pentas final pada 25 September dan bakal menentang sama ada Tajikistan yang berada di kedudukan 109 dunia ataupun Trinidad & Tobago di ranking 101 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 12:19 PM