MOURINHO mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil selepas Roma tewas kepada Sevilla di final Liga Europa. FOTO AFP
MOURINHO mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil selepas Roma tewas kepada Sevilla di final Liga Europa. FOTO AFP
AFP

Lausanne: Jose Mourinho digantung empat perlawanan Eropah kerana menghina pengadil, Anthony Taylor selepas Roma kalah kepada Sevilla di final Liga Europa, umum Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), hari ini.

Pengendali dari Portugal itu bersemuka dengan Taylor di kawasan letak kereta apabila Roma tewas menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 di Budapest.

Mourinho digantung daripada "empat perlawanan berikutnya sekiranya dia terbabit dalam pertandingan kelab UEFA kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai perlawanan," kata badan induk bola sepak Eropah itu.

Pasukannya akan bermain di peringkat kumpulan Liga Europa, musim depan.

Roma turut didenda 50,000 euro (RM255,000) dan diharamkan daripada membawa penyokong ke gelanggang lawan bagi perlawanan Eropah berikutnya "kerana menyalakan bunga api, membaling objek, merosakkan harta benda dan rusuhan penonton."

Kelab Itali itu turut didenda 5,000 euro (RM25,500) kerana "kelakuan tidak wajar pasukan mereka" dan diarah "menghubungi Persekutuan Bolasepak Hungary dalam masa 30 hari" untuk bersetuju dengan bayaran pampasan susulan kerosakan disebabkan penyokong mereka di stadium.

Taylor bersama keluarganya turut dimaki hamun penyokong Roma di lapangan terbang Budapest sehari selepas final kontroversi itu.

Taylor melayangkan kad kuning kepada 13 pemain termasuk tujuh pemain Roma dan perlawanan dalam suasana tegang itu ditangguhkan beberapa kali berikutan banyak kekasaran berlaku.

Ia adalah kali ketujuh Sevilla muncul juata Liga Europa dan kekalahan pertama di final Eropah dalam karier pengurusan Mourinho.

UEFA tidak mengenakan denda terhadap Sevilla walaupun didakwa berhubung pencerobohan padang dan tindakan penyokong serta pemain mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 9:44 AM