GULER  (kiri) meraikan jaringan kedua Turki.
GULER (kiri) meraikan jaringan kedua Turki.
AFP

Samsun, Turki: Cabaran Wales dalam saingan kelayakan Euro 2024 semakin sukar selepas tewas 0-2 di Turki sekali gus melengkapkan minggu mengecewakan skuad kendalian Rob Page.

Pemain gantian Umut Nayir dan Arda Guler menjaringkan gol pada 18 minit terakhir selepas Turki bijak memanfaatkan peluang susulan Joe Morrell dibuang padang sebelum rehat.

Tekanan ke atas Page semakin memuncak selepas pasukannya tewas 2-4 kepada Armenia di tempat sendiri Sabtu lalu dan Wales perlu bangkit jika mahu mara kali ketiga berturut-turut di Kejohanan Eropah.

Kemenangan melonjakkan Turki lima mata di depan Wales yang menduduki tangga keempat Kumpulan D dengan dua pasukan teratas mara ke Jerman pada musim panas akan datang.

Selepas prestasi hambar di Piala Dunia, Wales kini hanya menang sekali daripada 12 perlawanan terakhir mereka.

Kurang disiplin antara punca mereka merosot dan Wales beraksi kurang satu pemain kali ketiga dalam enam perlawanan apabila Morrell mengasari Ferdi empat minit sebelum rehat.

Danny Ward menyelamatkan sepakan penalti Hakan Calhanoglu manakala dua gol Turki dibatalkan sebelum mereka menamatkan kebuntuan jaringan menerusi tandukan Nayir dan rembatan lencung Guler.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 9:34 AM