RONALDO dan Georgina. FOTO Agensi
RONALDO dan Georgina. FOTO Agensi
Agensi

London: Cristiano Ronaldo dan teman wanitanya, Georgina Rodriguez menyalurkan dana bagi membantu rawatan kanser seorang kanak-kanak dari Portugal.

Tomas, 7, menghidap kanser jarang berlaku, neuroblastoma pada September 2019 dan pada Oktober tahun lalu, ibu bapa Tomas merayu sumbangan untuk pembedahan anak mereka.

Cristiano dan Georgina tampil tepat pada masanya dan memberi bantuan tanpa sebarang publisiti.

Ia didedahkan oleh kakak Georgina, Ivana yang berkongsi mesej mengesahkan pembabitan pasangan terkenal itu.

Antara kandungan mesej itu menyatakan terima kasih dan menyanjungi sikap prihatin dan kemanusiaan yang tinggi orang ramai daripada pelbagai peringkat di atas sumbangan diberikan ketika saat memerlukan.

PENDERITAAN Tomas dapat perhatian rakyat Portugal. FOTO Agensi
PENDERITAAN Tomas dapat perhatian rakyat Portugal. FOTO Agensi

Ia turut menyebut: "Terima kasih Georgina dan Cristiano di atas bantuan anda, bersama membantu dan miliki hati yang baik.

"Terima kasih tidak terhingga kerana membantu kami dan membolehkan Tomas menjalani rawatan.''

Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu kini mendapat rawatan ujian dan konsultasi lanjut di Hospital D'Hebron di Barcelona.

Ronaldo, 36, bukanlah asing dengan bantuan dan kerja amal. Pada Mac tahun lalu ketika pandemik mula melanda Eropah, Ronaldo dan ejennya, Jorge Mendes bergabung menderma £1 juta (RM5.56 juta) bagi membantu pihak hospital membendung penularan penyakit terbabit. Dia juga adalah Duta untuk Save the Children, Unicef dan World Vision. Pada 2013, Ronaldo menyumbang £89,000 (RM495,000) daripada bonus Pasukan Terbaik Tahunan Uefa kepada Red Cross.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 8:50 PM