PEMAIN NSFC meraikan kejayaan muncul juara Liga Perdana  di Paroi. FOTO Negeri Sembilan Football Club
PEMAIN NSFC meraikan kejayaan muncul juara Liga Perdana di Paroi. FOTO Negeri Sembilan Football Club
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kejayaan Negeri Sembilan FC (NSFC) menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini dilihat lebih manis kerana pasukan itu dianggotai hampir keseluruhannya pemain dalam kalangan anak negeri.

Ini diakui sendiri ketua jurulatihnya, K Devan yang menyifatkan ia sangat bermakna bagi dirinya dan semua penyokong setia pasukan itu.

"Kejayaan menjulang kejuaraan Liga Perdana kali ini lebih bermakna kerana hampir keseluruhan pemain terdiri daripada anak negeri.

"Ramai anak negeri seperti Zaquan Adha (Abd Radzak), Annas Rahmat, Nasrullah (Hanif Johan), Saiful Ridzuwan (Selamat), R Barathkumar dan lain-lain adalah watak utama dalam pasukan ini.

"Zaquan Adha sebagai ketua pasukan telah memainkan peranan penting dan kejayaan ini adalah hadiah terbaik buat semua pemain," katanya pada sidang media selepas berakhir saingan penutup tirai saingan menewaskan PDRM FC, 4-2, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Dalam aksi itu, gol NSFC disumbangkan Barathkumar, Alain Thierry Akono, Muhamad Fahmi Faizal dan gol sendiri, Eskandar Ismail manakala gol PDRM disumbangkan G Durrkeswaran dan Muhamad Azrie Reza Zamri.

Devan berkata, kejayaan itu juga dapat memberikan status yang lebih baik kepada skuad Hobin Jang Hobin dalam kancah saingan Liga Malaysia.

Malah, ianya juga dapat mengembalikan semula reputasi pasukan yang sebelum ini pernah menjulang beberapa kejuaraan termasuk Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2009 dan 2011.

Beliau berjaya menghadiahkan kejuaraan Piala FA buat Negeri Sembilan pada 2003 dan seterusnya menjulang kejuaraan sulung Liga Super edisi 2005/2006.

Pengendali berusia 62 tahun itu akui gembira dan teruja kerana dapat membawa NSFC beraksi di saingan Liga Super musim hadapan secara merit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 12:48 PM