Skuad Hobin Jang Hobin berdepan Kelantan FC dalam aksi Liga Perdana di Kota Bharu, petang esok. FOTO Ihsan NSFC
Skuad Hobin Jang Hobin berdepan Kelantan FC dalam aksi Liga Perdana di Kota Bharu, petang esok. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak rela hasratnya untuk kembali mendominasi punca carta Liga Perdana tersekat, ketika turun dalam perlawanan ke-17 musim ini berhadapan dengan Kelantan FC, di Stadium Sultan Mohamad ke-1V Kota Bharu, petang esok.

Dengan misi wajib menang bagi memastikan sasaran itu tercapai, pemain pertahanan skuad Hobin Jang Hobin, Annas Rahmat akui tugas mencabar bakal dihadapi pasukan itu kerana beraksi di gelanggang lawan.

"Negeri Sembilan perlu menang menewaskan Kelantan untuk memastikan kedudukan terbaik dalam carta tidak terjejas sekali gus memastikan pasukan dapat kembali menerajui puncak carta liga.

"Sememangnya tugas itu bukan mudah kerana beraksi di tempat lawan, namun kami sudah bersedia dari segala aspek untuk memastikan mata kemenangan dapat diraih petang esok.

"Saya juga percaya semua rakan-rakan dalam pasukan akan memberikan komitmen paling tinggi tatkala kemenangan begitu penting buat pasukan untuk kekal di kelompok puncak carta liga," katanya hari ini.

Pemain berpengalaman berusia 26 tahun itu bertekad untuk memberikan persembahan terbaik terutama membantu mempertahankan bahagian benteng Negeri Sembilan daripada dibolosi penyerang Kelantan, jika mendapat kepercayaan ketua jurulatih K Devan.

Annas mahu memastikan usaha membawa pasukan itu dalam misi layak ke saingan Liga Super musim hadapan terus lancar tanpa di halang oleh mana-mana pasukan tatkala berbaki empat perlawanan sebelum menamatkan saingan liga musim ini.

"Kami akan bekerja keras dalam mempertahankan pencapaian pasukan ketika ini dan mahu meneruskan rentak kemenangan pada empat baki perlawanan termasuk ke atas Kelantan.

"Saya berharap kemenangan yang kami capai ke atas Kelantan United FC (KUFC) di gelanggang sama minggu lalu, dapat diteruskan pada perlawanan yang dijangka lebih mencabar, petang esok.

"Apapun, kami perlu sentiasa berhati-hati dengan strategi pasukan lawan dengan memastikan setiap serangan dilakukan mereka dapat disekat sepenuhnya," kata pemain yang pernah beraksi bersama Melaka United FC musim lalu.

NSFC kini menduduki tangga kedua carta Liga Perdana dengan mengumpul 32 mata dipisahkan dua mata dengan pendahulu, Sarawak United yang akan turun menentang PDRM FC dalam satu lagi perlawanan pada sebelah malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 10:53 PM