ARSENAL yang dikatakan semakin harmoni di bilik persalinan. FOTO EPA
ARSENAL yang dikatakan semakin harmoni di bilik persalinan. FOTO EPA
Reuters

London: Tindakan tegas pengurus Arsenal, Mikel Arteta terhadap Pierre-Emerick Aubameyang memastikan tiada ruang untuk pemain bersikap ego dalam bilik persalinan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, kata pemain tengah Mohamed Elneny.

Aubameyang dilucutkan jawatan kapten pasukan selepas bertelagah dengan Arteta berhubung isu disiplin musim lalu.

Kontraknya kemudiannya ditamatkan sebelum perpindahan Februari ke Barcelona.

Pemain antarabangsa Gabon itu menjaringkan 92 gol dalam lebih 150 penampilan untuk Arsenal dan kembali ke EPL pada September, untuk menyertai Chelsea di mana dia sudah menjaringkan tiga gol dalam 11 perlawanan setakat ini.

Sebuah video yang tersebar di media sosial bulan lalu menunjukkan Aubameyang mengkritik Arteta kerana tidak dapat menguruskan 'watak besar dan pemain ternama'.

Penyerang itu kemudiannya menjelaskan komennya dan mengucapkan selamat sejahtera kepada kelab London utara itu.

"Ini adalah bilik persalinan yang kita ada sekarang. Semua orang saling menyayangi dan semua orang bekerja untuk satu sama lain. Inilah yang sebenarnya menjadikan skuad kami sangat kuat, kerana kami tidak mempunyai ego dalam pasukan.

"Sekarang semua orang menjaga diri mereka sendiri kerana Mikel melakukan itu kepada kapten pasukan. Apa yang dia akan lakukan dengan pemain lain? Semua orang takut dengan kedudukan mereka kerana ini berlaku kepada Aubameyang.

"Sudah tentu jika sesiapa bukan kapten pasukan, melakukan kesilapan kecil, mereka akan menghadapi masalah yang sama, dan tiada siapa yang memerlukan masalah itu. Kami bersetuju dengan apa yang diputuskan Mikel kerana dia adalah bos kami dan kami hanya perlu bersetuju dengan visinya untuk kami," kata Elneny kepada media Britain menjelang perlawanan liga esok bertemu Chelsea.

Arsenal yang mendahului liga mengumpul 31 mata selepas 12 perlawanan, 10 mata mengatasi Chelsea di tangga keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 12:22 PM