SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman. FOTO ARKIB NSTP
SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sasaran menguasai Asia Tenggara dan muncul antara pencabar utama di Asia adalah tumpuan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tempoh 2023 hingga 2026 ini.

Perkara itu bakal diterjemahkan badan induk bola sepak negara itu pada majlis pelancaran Pelan Kedua Tindakan Strategik Peta hala tuju F:30 2023-2026, Sabtu ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, pelan fasa kedua itu akan dibentangkan pada majlis pelancaran itu nanti.

"Kita tunggu Sabtu ini, dekat situ kita akan nampak dengan jelas dalam pembentangan mengenai pencapaian fasa satu dan perancangan untuk fasa kedua," katanya.

Di awal pelancaran F:30 adalah menjadikan pasukan negara sebagai salah satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030 dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjadikan pelan ini sebagai salah satu simbol keseriusan badan induk itu.

Dilancarkan pada 2018, F:30 adalah pelan rancangan 12 tahun yang terbahagi kepada tiga pelan strategik dengan fasa pertama dari 2022 dikhususkan kepada usaha membina asas kukuh menerusi tadbir urus baik, persaingan serta pembangunan modal insan di samping infrastruktur.

Fasa dua (2023-2026) disasarkan untuk mendapatkan pasukan bertaraf Asia manakala fasa ketiga (2027-2030) adalah melahirkan pasukan kebangsaan bertaraf dunia.

Pada pelancaran lima tahun lalu itu, Presiden Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa), Gianni Infantino dan Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa turut hadir dan menjadi saksi kepada agenda F:30.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 5:07 PM