PEMAIN skuad muda negara meraikan kejayaan layak ke Piala Asia B-17 tahun depan. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad muda negara meraikan kejayaan layak ke Piala Asia B-17 tahun depan. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan skuad Bawah 16 (B-16) tahun negara layak ke Piala Asia 2023 membuktikan peta hala tuju bola sepak negara iaitu F:30 berada di landasan tepat.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, kejayaan tiga pasukan negara iaitu skuad senior Harimau Malaya, pasukan B-23 dan terbaharu skuad B-16 yang layak secara merit ke Piala Asia menunjukkan perancangan badan induk itu masih relevan.

"Pasukan B-16 layak ke Piala Asia 2023 dan ia pencapaian sungguh membanggakan kita, sekali gus membuktikan F:30 masih dalam perancangan kita.

"Walaupun skuad B-19 tak layak, tetapi mereka menjadi juara Piala AFF dan ia satu pencapaian yang baik.

"Jadi kita akan teruskan perancangan seperti diaturkan Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) yang mahu melihat bola sepak kita terus bangkit dan menyinar di peringkat antarabangsa," katanya.

Skuad B-16 negara layak ke Piala Asia tahun depan selepas muncul juara Kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 di Indonesia, Ahad lalu.

Malah, sebelum itu dua 'skuad abang' iaitu pasukan kendalian Kim Pan-gon turut layak secara merit selepas muncul lima pasukan naib juara terbaik pada Jun lalu untuk menamatkan badi selama 43 tahun ke saingan Piala Asia.

Selain itu, pasukan B-23 beraksi di Piala Asia yang berlangsung di Uzbekistan pada Jun lalu, namun terkandas di peringkat kumpulan saingan.

F:30 yang dilancarkan pada 2018 adalah untuk menjadikan pasukan negara sebagai satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.

Peta hala tuju itu dipecahkan kepada tiga pelan strategik apabila fasa pertama akan menjurus kepada membina asas kukuh tadbir urus baik, persaingan serta pembangunan modal insan dan infrastruktur.

Fasa dua (2023-2026) disasarkan untuk mendapatkan pasukan bertaraf Asia manakala fasa ketiga (2027-2030) adalah melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 7:20 PM