SAKA meledak gol pertama Arsenal ketika mereka menewaskan Brighton 3-0. -FOTO Reuters
SAKA meledak gol pertama Arsenal ketika mereka menewaskan Brighton 3-0. -FOTO Reuters
AFP

Brighton, United Kingdom: Mikel Arteta percaya Arsenal lebih bersedia untuk perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas gagal merebut gelaran itu musim lalu apabila pasukannya kini mengungguli tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kemenangan 3-0 di Brighton awal pagi tadi.

Ia adalah balas dendam terbaik selepas kurang dari setahun lalu, Seagulls menang 3-0 di Emirates untuk menamatkan harapan The Gunners menjuarai Liga Perdana pertama sejak 2004.

Dua belas bulan kemudian, anak buah Arteta kini lebih matang dan kelihatan bersedia untuk menyahut cabaran menewaskan Liverpool dan Manchester City sekali gus menamatkan penantian dua dekad mereka untuk memenangi liga.

Arsenal kini satu mata di hadapan Liverpool yang akan menentang Manchester United awal pagi nanti dan juara Manchester City untuk menghuni tangga teratas liga.

Bukayo Saka membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti sebelum Kai Havertz menjaringkan gol kelimanya dalam sembilan perlawanan terakhir Arsenal untuk terus menutup mulut pengkritiknya.

Leandro Trossard yang dimasukkan dari bangku simpanan terus menghantui kelab lamanya menerusi sepakan padu menembusi kawalan Bart Verbruggen untuk gol ketiga Arsenal pada minit ke-86 perlawanan.

"Kami lebih matang. Kami melalui banyak detik bersama-sama dan tarikan kimia yang anda bina dalam pasukan," kata Arteta mengenai apa yang berbeza daripada setahun lalu apabila City memintas mereka pada penghujung musim.

"Kami menandatangani beberapa pemain hebat juga yang membantu. Skuad ini semakin baik dan momentumnya bagus."

Brighton tidak pernah tewas di tempat sendiri dalam 14 perlawanan di semua kejohanan bermula pada September lalu tetapi mereka tidak pernah bertemu pasukan Arsenal dalam tempoh itu.

Mereka kini menang 10 dan seri satu menentang Manchester City, daripada 11 perlawanan liga terakhir mereka.

Saka yang mengalami kecederaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan direhatkan untuk kemenangan 2-0 hari Rabu ke atas Luton beraksi dengan baik menentang Brighton.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 7:00 AM