RICE meraikan gol keenam yang dijaringkannya ketika berdepan West Ham. -FOTO Reuters
RICE meraikan gol keenam yang dijaringkannya ketika berdepan West Ham. -FOTO Reuters
AFP

London: Declan Rice menjaringkan gol ketika dia kembali ke West Ham yang menyaksikan Arsenal membelasah anak buah David Moyes 6-0 seterusnya mencerahkan peluang dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Bukayo Saka menjaringkan dua gol, manakala Leandro Trossard dan bek tengah William Saliba dan Gabriel Magalhaes turut menjaringkan gol dalam aksi yang menyaksikan anak buah Mikel Arteta mencipta rekod baharu kelab untuk kemenangan di tempat lawan Liga Perdana.

Kemenangan membawa The Gunners kembali dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Liverpool dan di belakang Manchester City hanya dengan perbezaan gol yang dijaringkan.

"Kami mendahului 4-0 pada separuh masa pertama dan kami boleh menjaringkan lebih banyak gol," kata Saka.

"Kami mencium bau darah hari ini dan pergi untuk membunuh."

Percubaan Arsenal untuk merebut kejuaraan liga pertama dalam tempoh 20 tahun nampaknya semakin hilang apabila mereka tewas di tempat sendiri kepada The Hammers selepas hanya meraih satu kemenangan dalam tujuh perlawanan pada awal tahun baharu.

Bagaimanapun, mereka bangkit selepas cuti musim sejuk apabila kembali mencabar kejuaraan liga dan terus menghambat City dan Liverpool di tangga teratas.

"Saya merasakan bahawa pasukan mempunyai keinginan bergelar juara selepas Liverpool, dan selepas apa yang berlaku di West Ham dan Emirates, kami mahu memperbetulkannya," kata Arteta.

"Jika anda mahu berada di atas, kami perlu benar-benar konsisten dan bermain pada tahap itu, dan kami pasti melakukannya hari ini."

West Ham telah menewaskan Gunners dua kali musim ini, juga menyingkirkan mereka daripada Piala Liga pada November.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 8:19 AM