HENDERSON (kiri) berperang mulut dengan Gabriel (dua dari kanan) sehingga terpaksa ditenangkan pemain lain. FOTO AFP
HENDERSON (kiri) berperang mulut dengan Gabriel (dua dari kanan) sehingga terpaksa ditenangkan pemain lain. FOTO AFP
Agensi

London: Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris sedang menyiasat perkataan diluahkan ketika perbalahan mulut antara Jordan Henderson dan Gabriel Magalhaes ketika Liverpool kalah kepada Arsenal pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

Banyak kontroversi berlaku pada pertarungan sengit itu pada ketika anak buah Mikel Arteta meneruskan permulaan musim cemerlang dengan kemenangan 3-2.

Dua keputusan berkaitan sepakan penalti berpihak kepada tuan rumah apabila pada mulanya Gabriel dinafikan bola terkena tangan dalam kotak penalti oleh pengadil dan pegawai VAR.

Pada babak kedua, anak buah Arteta diberi peluang sempurna untuk menang apabila Thiago dipersalahkan kerana mengasari Gabriel Jesus.

Bukayo Saka menyempurnakan sepakan penalti itu yang juga gol keduanya pada aksi itu, sekali gus memastikan pasukannya mengatasi Manchester City di tangga teratas liga.

Bagaimanapun, kontroversi berlaku apabila Henderson dan Gabriel berperang mulut pada babak kedua menyebabkan pemain lain terpaksa campur tangan.

Kini, FA sedia menyiasat insiden itu apabila pengadil, Michael Oliver turut bertanya dengan mereka selepas wisel penamat.

Menurut laporan the Telegraph, kedua-dua pemain itu ditemu bual selepas perlawanan dan hasilnya sudah diserahkan kepada FA.

Menerusi satu kenyataan, FA berkata: "Kami sedar insiden yang berlaku pada perlawanan antara Arsenal dan Liverpool.

"Kami berbincang dengan pegawai perlawanan dan akan menyiasat sepenuhnya insiden itu."

Tiada komen daripada pemain, kelab atau pengadil mengenai apa yang diperkatakan kedua-dua pemain itu.

Bagaimanapun, Gabriel dikatakan membuat aduan kepada Oliver mengenai perkataan yang didengarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 9:38 PM