PEMAIN Arsenal raikan jaringan ke atas PSV. FOTO FB Arsenal
PEMAIN Arsenal raikan jaringan ke atas PSV. FOTO FB Arsenal
AFP

London: Arsenal kembali ke Liga Juara-Juara Eropah dengan bergaya apabila memulakan cabaran pertama dalam tempoh enam musim dengan kemenangan mengagumkan 4-0 ke atas wakil Belanda, PSV Eindhoven di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Skuad The Gunners melengkapkan kemenangan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B dengan persembahan cemerlang terutama sepanjang 45 minit pertama yang menyaksikan tuan rumah mendahului 3-0 dalam aksi yang turut dibasahi hujan di utara London itu.

Bukayo Saka membuka tirai jaringan selepas lapan minit apabila dia pantas memanfaatkan bola muntah penjaga gol PSV, Walter Benitez yang sebelum itu cuba menghalang rembatan deras Martin Odegaard.

Saka terus menjadi duri dalam daging buat lawan apabila dia mengilhamkan gol kedua Arsenal 12 minit kemudian apabila lorongan tepatnya disudahkan Leandro Trossard.

Gabriel Jesus menambah gol ketiga sebelum tamat aksi babak pertama menerusi satu ledakan padu di minit 38 untuk memberi kelebihan selesa buat anak buah Mikel Arteta.

Bersambung selepas rehat, Arsenal terus mendominasi perlawanan dan Odegaard berjaya menjadikan kedudukan 4-0 hasil percubaan luar kotak penalti yang sama sekali lagi gagal dihalang penjaga gol PSV.

"Ia satu malam yang indah selepas sekian lama. Hebat untuk menyaksikan suasananya, lagu Liga Juara-Juara. Ia satu suasana penuh emosi sebelum perlawanan.

"Kami perlu mencetus tenaga itu. Saya amat teruja namun saya mahu mengawal emosi. Kami perlu menikmati malam sebegini. Ia satu malam yang harus diingati," kata Arteta.

Kemenangan besar itu meletakkan wakil England di puncak carta Kumpulan B selepas satu lagi babitkan pertemuan antara Lens dan Sevilla berkesudahan terikat 1-1, untuk masing-masing berkongsi satu mata.

Kejayaan itu dianggap cukup manis oleh penyokong Arsenal selepas menunggu hampir tujuh musim selepas kali terakhir beraksi pada 2017 lalu dan kepulangan semula dalam Liga Juara-Juara Eropah ditambah kemenangan besar itu meletakkan harapan besar melangkah lebih jauh di saingan itu musim ini

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 8:48 AM