FAISAL meraikan jaringan ketika menentang KL City semalam. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
FAISAL meraikan jaringan ketika menentang KL City semalam. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC bangkit daripada ketinggalan untuk menumbangkan jiran tetangga Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan kemenangan 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu mengukuhkan status Red Giants sebagai 'Raja Lembah Klang' buat ketika ini sebelum kedua-dua pasukan dijadual bertemu sekali lagi pusingan kedua liga halaman Selangor FC pada 8 Ogos nanti.

Dalam aksi itu, pelawat yang dibimbing Tan Cheng Hoe jelas menguasai aksi terutama di 10 minit terawal menerusi gerakan-gerakan bahaya ke kubu tuan rumah.

Bagaimanapun, anak buah Bojan Hodak terlebih dulu di depan hasil rembatan Kipre Tchetche yang terbias di kaki Yazan Al-Arab, sekaligus bola bergolek masuk menewaskan Khairulazhan Khalid di minit 24.

Gol itu nyata menyentak semangat pemain Merah Kuning yang kemudiannya meningkatkan lagi 'suhu' permainan dan hasilnya dihadiahkan sepakan penalti selepas Kamal Azizi tertampan bola dalam kotak penalti.

Penyerang dari Colombia, Ayron del Valle tenang menyempurnakan sepakan penalti buat mengikat kedudukan 1-1 di minit 32.

Pertahanan skuad The Cits Boys terus goyah apabila lapan minit kemudian kesilapan Azri Ghani menjatuhkan Ayron dalam kotak penalti menyebabkan pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin tiada pilihan dengan menghadiahkan sepakan penalti kedua buat Selangor FC.

Tonggak sayap kebangsaan, Faisal Halim yang diberi kepercayaan mudah menyumbat masuk untuk dia membuka akaun jaringan pertamanya musim ini.

Bersambung babak kedua, KL City yang juga naib juara Piala AFC musim lalu terus gagal mengimbangi asakan pelawat di mana Ayron menambah gol ketiga di minit 54 selepas menerima hantaran Hein Htet Aung, sekali gus merekodkan jaringan peribadi keempatnya musim ini.

Kelebihan Selangor itu kekal hingga wisel penamat buat melonjakkan kedudukan pasukan itu ke tangga ketiga dengan mengumpul 13 mata selepas enam aksi.

KL City pula terus kekal di posisi ke-12 liga dengan tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:24 AM