Aksi antara Perak II dan Selangor II. FOTO Ihsan Perak FC
Aksi antara Perak II dan Selangor II. FOTO Ihsan Perak FC
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jaringan penalti disempurnakan Mohd Zulkifli Zakaria pada penghujung babak perlawanan menjadi penyelamat buat Perak FC II apabila berjaya bangkit mengatasi Selangor FC II, 4-3 pada saingan Liga Perdana di Stadium Perak, hari ini.

Ia adalah kemenangan pertama Perak II selepas empat kekalahan berturut-turut dalam saingan musim ini.

Tuan rumah memperoleh jaringan seawal minit ke-6 oleh pemain tengah Royizzat Daud untuk menewaskan penjaga lawan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Selang dua minit kemudian, skuad kendalian Syamsul Mohd Saad meledakkan gol kedua menerusi penyerang, Mohd Zulkifli Zakaria untuk meletakkan tuan rumah mendahului 2-0.

Cubaan pasukan tuan rumah melalui Muhammad Nasrol Amri Kamarul Azhar pada minit ke-17 bagaimanapun gagal mengalahkan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman apabila rembatan hanya mengenai palang gol.

Skuad pelawat kendalian Micheal Feichtenbeiner berjaya merapatkan jaringan menerusi Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan pada minit ke-34.

Disusuli jaringan kedua oleh Muhammad Syazwan Salihin empat minit kemudian, meletakkan kedudukan terikat 2-2.

Badak kedua perlawanan, Selangor meneruskan rentak cemerlangnya apabila memperoleh gol ketiga pada minit ke-52 menerusi pemain pertahanannya, Harith Haiqal Adam Afkar, meletakkan kedudukan Selangor 3-2.

Percaturan Perak II dengan memasukkan Muhammad Nazmi Ahmad berjaya membuahkan apabila pemain pertahanan itu berjaya menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-63.

Perak II akhirnya memperoleh gol kemenangan yang dicari 10 minit sebelum tamat perlawanan selepas Aidril Faqir Yousni dikasari pemain lawan sehingga membolehkan pengadil memberikan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Mohd Zulkifli untuk menjadikan kedudukan 4-3 sehingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 8:55 PM