REAKSI Potter pada perlawanan awal pagi tadi. FOTO AFP
REAKSI Potter pada perlawanan awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Chelsea yang berdepan tekanan, Graham Potter berkata, beliau mengambil tanggungjawab selepas skuadnya tewas 0-2 di tempat sendiri kepada Aston Villa, awal pagi tadi.

Ollie Watkins meletakkan Villa di depan sebelum jaringan hebat oleh John McGinn, yang menyinar ketika membantu Scotland mengejutkan Sepanyol pada kelayakan Euro 2024, menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-56.

Barisan pemain Chelsea diejek oleh penyokong mereka sendiri selepas tamat perlawanan di Stamford Bridge.

Kekalahan itu menyaksikan Villa melonjak di tangga kesembilan serta menyaksikan Chelsea, yang sekian lama menjadi pencabar kejuaraan di tempat ke-11 serta kurang lima mata di belakang slot saingan pentas Eropah.

"Saya tidak suka menyalahkan sesiapa, saya perlu bertanggungjawab," kata Potter.

Mengenai ejekan penyokong, bekas bos Brighton itu menambah: "Kami dapat rasakan keperitan penyokong... Saya faham apabila anda tewas di tempat sendiri ia menyebabkan orang ramai akan kecewa dan marah.

"Tiada siapa yang menyukainya. Apa jua kritikan yang datang saya harus terima."

Sekali lagi Chelsea membayar harga mahal kerana kekurangan penyerang berbisa apabila mempunyai 27 percubaan tepat berbanding lima diraih Villa namun lawan mereka menyempurnakan dua daripadanya.

"Anda boleh lihat berapa banyak kali kami berjaya masuk ke dalam kotak penalti lawan. Terdapat perkara yang positif tetapi keputusan itu jelas mengecewakan kami," kata Potter.

Ia adalah kemenangan kelima Villa di tempat lawan sejak Unai Emery menjadi pengurus pada Oktober, dan mereka kini hanya satu mata di belakang Liverpool di tempat kelapan serta kurang dua mata untuk memburu tiket di saingan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 7:23 AM