GRAHAM Potter meninggalkan Brighton untuk ke Chelsea. FOTO EPA
GRAHAM Potter meninggalkan Brighton untuk ke Chelsea. FOTO EPA
Reuters

London: Pengurus baharu Chelsea, Graham Potter menulis surat perpisahan kepada penyokong bekas kelabnya, Brighton & Hove Albion, memohon maaf atas keputusan mengejutnya dan berharap mereka memahami alasannya.

Potter disahkan sebagai pengurus Chelsea, Khamis lalu, hanya lebih 24 jam selepas kelab London itu memecat Thomas Tuchel.

Beliau membawa Brighton ke penamat terbaik liga musim lalu apabila kelab itu menduduki tempat kesembilan dalam Liga Perdana.

"Saya menyedari bahawa perubahan yang berlaku secara tiba-tiba dalam bola sepak mungkin sukar diterima. Saya mungkin tidak dapat memujuk anda semua untuk memaafkan pemergian saya, tetapi sekurang-kurangnya saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih.

"Saya harap anda akan faham bahawa pada peringkat kerjaya ini, saya rasa perlu mengambil cabaran baharu," kata Potter.

Perlawanan terakhir Potter sebagai pengurus Brighton ialah kemenangan 5-2 ke atas Leicester City yang melonjakkan mereka ke tangga keempat, tiga mata di atas Chelsea.

"Saya tidak tahu pada masa itu bahawa ia akan berakhir, tetapi melihat masa lalu, pasukan beraksi dengan begitu baik. Terdapat begitu banyak perkara positif di sekeliling kelab,

"Beberapa hari kebelakangan ini adalah sesuatu yang tidak dijangka. Meninggalkan tempat latihan buat kali terakhir adalah agak yang menyedihkan.

"Kepada pengganti saya, sesiapa pun, saya ucapkan tahniah. Anda akan bekerja untuk kelab yang hebat dengan skuad yang hebat, disokong oleh pengerusi dan lembaga yang hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 8:08 PM