STERLING (tengah) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan dengan menentang Salzburg. FOTO Reuters
STERLING (tengah) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan dengan menentang Salzburg. FOTO Reuters
Reuters

London: Kesukaran penyerang Chelsea, Raheem Sterling menjaringkan gol lebih berkaitan dengan usaha jentera depan pasukan mencari persefahaman berbanding prestasi peribadi pemain England itu, kata pengurus, Graham Potter.

Chelsea menandatangani Sterling dari Manchester City dengan harga 47.5 juta (RM254.63 juta) pada hujung musim lalu, tetapi penyerang berusia 27 tahun itu baru menjaringkan satu gol dalam sembilan penampilan di semua kejohanan.

"Saya fikir, ia lebih kepada aspek sepasukan. Kami berusaha melakukan yang lebih baik dan meningkatkan ketajaman jentera depan sebagai satu pasukan. Jika perkara itu dapat dilakukan, barulah individu dapat berfungsi dengan lebih baik," kata Potter menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Salzburg, awal pagi esok.

"Berbanding fokus kepada individu, saya lebih gemar melihat bagaimana pasukan berfungsi serta bermain dan banyak lagi ruang untuk peningkatan yang akan membantu semua orang termasuk Raheem."

Potter berkata, Chelsea berdepan kesukaran untuk mencipta peluang kerana ketiadaan beberapa pemain utama ketika jadual padat, sekali gus menjejaskan kestabilan pasukan.

Kelab itu kehilangan bek sayap, Reece James dan pemain tengah, N'Golo Kante kerana kecederaan jangka panjang manakala bek tengah, Kalidou Koulibaly turut terlepas perlawanan awal pagi esok.

"Ia adalah kombinasi untuk mencari keseimbangan dan ia termasuk kurang latihan di antara sesuatu perlawanan. Saya fikir kami melalui tujuh perlawanan dalam tiga minggu terakhir," kata Potter.

"Jadi, apabila ramai pemain tersisih daripada pasukan kerana pelbagai sebab, sukar untuk mencari kestabilan dan struktur pasukan. Jadi, ia turut menjadi satu cabaran buat pasukan."

Chelsea kini mendahului Kumpulan E dengan tujuh mata manakala Salzburg di tempat kedua.

Jika Chelsea menang, mereka akan mara ke pusingan 16 terbaik, tetapi Potter berkata, dia turut berwaspada dengan kekuatan kelab Austria itu yang belum tewas di tempat sendiri, musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 11:26 AM