AYRON (kiri) meraikan jaringan bersama Faisal Halim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AYRON (kiri) meraikan jaringan bersama Faisal Halim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyerang Selangor FC Ayron del Valle membuktikan dia bukanlah 'scammer' apabila mencetak nama sebagai antara penjaring gol terbanyak bagi pasukan selepas mengharungi enam perlawanan Liga Super.

Penjaring terbanyak Liga Dimayor itu setakat ini sudahpun menghimpun empat jaringan dengan hanya satu menerusi sepakan penalti.

Malah, penyerang Colombia itu memainkan peranan penting ketika 'Derbi Lembah Klang' apabila dua jaringannya membantu The Red Giants membenam KL City FC 3-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), semalam.

Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui penggempur berusia 34 tahun itu masih memerlukan masa untuk memberikan aksi yang maksimum dan dua jaringannya pasti meningkatkan lagi keyakinan pemain itu.

"Kita tahu Ayron memiliki kualiti tersendiri dan berbahaya di depan gol. Cuma dia masih perlukan masa kerana dia menyertai pasukan agak lewat dan bukan mudah untuknya.

"Tetapi dia sentiasa berusaha keras bagi memastikan keadannya berada dalam keadaan terbaik dan mana mana penyerang yang menjaringkan gol pasti akan bertambah yakin.

"Walaupun agak berusia, sumbangannya dan tahap kecergasannya masih lagi relevan kerana kita memerlukan sentuhan Ayron juga dalam pasukan," katanya.

Pada aksi terbabit, SFC bangkit daripada ketinggalan satu gol menerusi dua sepakan penalti disempurnakan Ayron (m-32) dan Faisal Halim (m-54) sebelum Ayron menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-54.

Mengulas lanjut aksi anak buahnya pada pertembungan tetangga itu, bekas pengendali skuad kebangsaan ini mengakui berdepan kesulitan apabila hanya mendapat keseluruhan pasukan dalam masa singkat susulan tugasan antarabangsa.

"Ini bukan alasan dan kita tahu aksi berdepan KL City FC ini amat penting kerana bukan sahaja derbi tetapi kita perlu menang bagi mendapatkan suntikan motivasi.

"Intensiti dan tempo permainan agak rendah tetapi saya berpuas hati kerana pemain mampu menunjukkan prestasi terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 1:39 PM