SKUAD B-22 negara muncul juara Piala Merlion selepas menewaskan Hong Kong di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi. FOTO FB FAM
SKUAD B-22 negara muncul juara Piala Merlion selepas menewaskan Hong Kong di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara hanya mempunyai tempoh tidak sampai sebulan sebelum dipanggil semula menjalani latihan sebagai persiapan ke Sukan Sea Kemboja, Mei depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, kejayaan muncul juara kejohanan empat penjuru Piala Merlion 2023, malam tadi, seharusnya menjadi azimat terbaik kepada pemain untuk tampil lebih menyakinkan di temasya dwi tahunan itu.

Beliau berkata, Piala Merlion itu digunakan sebaik mungkin untuk membentuk barisan pemain mantap dalam usaha memastikan Malaysia mampu melangkah jauh apabila beraksi di Kemboja.

"FAM mengucapkan tahniah kepada barisan pemain muda negara yang berjaya membawa pulang Piala Merlion selepas 41 tahun menyertai kejohanan itu.

"Kejohanan itu adalah platform terakhir buat skuad B-22 negara bertemu pasukan lain sebelum menjalani latihan di dalam negara yang dijangka bermula 18 April ini.

"Berdasarkan prestasi terkini, mungkin ada harapan untuk skuad B-22 negara mengakhiri kemarau pingat emas dalam sukan bola sepak di temasya Sukan Sea Kemboja nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada perlawanan malam tadi, skuad B-22 negara memberi amaran mereka akan tampil lebih 'mengaum' di Sea Kemboja apabila menjuarai Piala Merlion 2023.

Tampil lebih meyakinkan kali ini, skuad kendalian E Elavarasan menumpaskan Hong Kong 2-1 dalam aksi final di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Gol pasukan negara disumbangkan Najmudin Akmal dan Safwan Mazlan sebelum Hong Kong merapatkan jurang menerusi Lau Ka Kiu berikutan kesilapan penjaga gol negara, Rahadiazli Rahalim yang gagal menyepak bola keluar dari dari kawasan bahaya.

Skuad negara dijangka berlepas ke Kemboja pada 29 April dengan sasaran sekurang-kurangnya layak hingga ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 2:25 PM