FERGUS (kanan) pamer aksi cemerlang bersama skuad B-22 di Piala Merlion. FOTO FAM
FERGUS (kanan) pamer aksi cemerlang bersama skuad B-22 di Piala Merlion. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain kacukan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Fergus Tierney mahu terus menabur bakti bersama pasukan muda Malaysia termasuklah beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja pada Mei ini.

Fergus antara penyumbang gol pada pertemuan Malaysia menentang Kemboja pada kejohanan Piala Merlion di Singapura baru-baru ini berkata, akan berusaha memberikan yang terbaik apabila dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan.

Dia yang juga pemain kacukan Malaysia-Scotland berkata, statusnya sebagai pemain berdarah kacukan bukanlah tiket untuk meraih tempat dalam skuad kendalian E Elavarasan kerana menyedari individu lain turut memiliki keistimewaan dan kehebatan tersendiri sekali gus perlu merebut posisi dalam pasukan kebangsaan.

"Saya rasa sangat gembira apabila dapat menyumbang kepada pasukan kebangsaan dan saya harap dapat meneruskannya.

Saya juga berasa bangga apabila dapat menyarung jersi Harimau Malaya dan harapkan akan berterusan pada masa hadapan," katanya.

Terdahulu, pasukan kendalian ketua jurulatih Elavarasan berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Merlion selepas mereka berjaya menewaskan pasukan Kemboja B-22 dengan jaringan 4-2 walaupun ketika ini pemain beragama Islam bermain dalam keadaan berpuasa.

Dalam pada itu, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) II berkata, walaupun kejohanan Piala Merlion adalah kali kedua beliau bersama pasukan B-22, namun beliau tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.

"Ini kali kedua saya bersama skuad negara dan ramai muka baru, tapi semua pemain sangat baik, jadi senang untuk saya," katanya.

Sementara itu, disebalik kejayaan menjulang Piala Merlion buat pertama kali selepas lebih 40 tahun, Fergus tidak akan leka sebaliknya akan bekerja keras apabila kembali bermain untuk JDT II di Piala MFL bagi memastikan namanya terus mendapat perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 2:39 PM