MUHAMMAD Safwan Mazlan idam juara Piala Merlion. FOTO TFC
MUHAMMAD Safwan Mazlan idam juara Piala Merlion. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Dua misi peribadi buat pemain pertahanan, Muhammad Safwan Mazlan yang kini bersama pasukan kebangsaan Bawah 22 Tahun (B-22) di Singapura menghadapi saingan Piala Merlion 2023.

Jelas bek kiri Terengganu FC (TFC) berusia 21 tahun itu, selain mengintai kejuaraan pada aksi final Ahad ini bagi merebut Piala Merlion atau Singa Laut itu, dia juga berazam untuk menambat hati ketua jurulatih, E Elavarasan.

Katanya, dia mahu mengintai peluang membarisi skuad kebangsaan dalam saingan Sukan Sea di Kemboja yang bakal berlangsung pada Mei ini walaupun sedar bukan mudah untuk menempatkan diri dalam senarai pemain bagi menghadapi temasya edisi ke-32 itu.

Bagaimanapun bekas pemain Terengganu FC II (TFC II) musim lalu yang dinaikkan 'pangkat' musim ini selepas memperagakan peningkatan berazam untuk berusaha gigih bagi merealisasikan impiannya itu lebih-lebih lagi berada pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

"Selain mahu melakar sejarah membawa pulang Piala Merlion yang dijadualkan pada malam esok, misi kedua saya juga mahu memikat barisan kejurulatihan bagi memastikan terpilih mewakili skuad negara ke pentas Sukan Sea nanti.

"Bagi saya, kejohanan Piala Merlion ini adalah salah satu persiapan dan persediaan pasukan negara sebelum mengharungi kancah Sukan Sea, jadi kami akan dinilai barisan kejurulatihan dalam saingan ini.

"Justeru jika disenaraikan dalam pasukan pada aksi final esok, saya akan berikan persembahan terbaik selepas berjaya membantu pasukan membenam cabaran Kemboja 4-2 di Stadium Jalan Besar, Singapura, semalam," kata Safwan ketika dihubungi.

Selain Safwan, empat lagi rakan sepasukannya turut berada dalam kem kebangsaan menghadapi Piala Merlion itu termasuk kapten, Muhammad Azam Azmi Murad, penjaga gol Muhammad Rahadiazli Rahalim, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili.

Skuad kebangsaan bakal menentang Hong Kong pada malam esok bagi menentukan juara selepas pasukan itu menumpaskan tuan rumah, Singapura 1-0 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 2:13 PM