TIGA pemain Hong Kong cuba mengekang kemaraan pemain skuad B-22 negara. FOTO FAM
TIGA pemain Hong Kong cuba mengekang kemaraan pemain skuad B-22 negara. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Bawah 22 Tahun (B-22) negara memberi amaran mereka akan tampil lebih 'mengaum' di temasya Sukan Sea Kemboja apabila menjuarai kejohanan empat penjuru Piala Merlion 2023 sebentar tadi.

Tampil lebih meyakinkan kali ini, skuad kendalian E Elavarasan mengesahkan kejuaraan selepas menumpaskan Hong Kong 2-1 dalam aksi di Stadium Jalan Besar, di Singapura.

Babak pertama menyaksikan skuad 'adik' Harimau Malaya lebih menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Namun serangan bertali arus itu menyaksikan tiada penyudah sempurna sekali gus tiada sebarang gol berjaya dicipta hingga separuh masa pertama tamat.

Memasuki babak kedua, jentera serangan negara diterajui Haqimi Azim, Safwan Mazlan dan Ruventhiran memperkemaskan taktikal bagi mencari gol pembukaan.

Malaysia sebenarnya boleh mendahului perlawanan dengan dua gol namun jaringan terbabit tidak dikira kerana pemain berada di kawasan ofsaid sekali gus memberi kelegaan kepada kem Hong Kong.

Gol yang dicari akhirnya muncul kira-kira 15 minit sebelum perlawanan tamat apabila Najmudin Akmal yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menanduk jaringan pertama perlawanan untuk kedudukan 1-0.

Bagaikan mendapat tonik, Safwan yang sebelum ini melakukan dua percubaan jarak jauh akhirnya mampu tersenyum apabila rembatan kali ketiga dari luar kotak penalti berjaya menerjah jaring untuk Malaysia selesa mendahului 2-0.

Namun, penyakit skuad muda negara yang sering leka apabila sudah mendahului perlawanan menyebabkan mereka dihukum menerusi serangan berbahaya Hong Kong.

Hal ini kerana, kesilapan penjaga gol Rahadiazli Rahalim gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya disambar pemain Hong Kong Lau Ka Kiu sebelum dia menyumbat gol untuk kedudukan 2-1.

Skuad muda negara cuba mengatur serangan pada akhir babak perlawanan separuh masa kedua namun kedudukan 2-1 kekal menyaksikan Malaysia akhirnya menamatkan kemarau lebih 41 tahun merangkul kejuaraan di bumi Singapura.

Perlawanan terbabit turut dicemari beberapa layangan kad merah pada akhir perlawanan namun situasi terbabit tidak menjejaskan tumpuan Malaysia untuk menjuarai Piala Merlion.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 11:29 PM