RIDZWAN dan  Amin Nasrollah bentuk gandingan mantap.
RIDZWAN dan Amin Nasrollah bentuk gandingan mantap.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Persefahaman semakin mantap dan berkesan berjaya dibentuk antara pemain lincah Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri dengan rakan sepasukanya, Amin Nasrollah Zadeh yang beraksi dalam Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023.

Dua pemain berkenaan kini seolah menjadi senjata utama buat skuad kendalian jurulatih Gerard Casas apabila menyumbang 11 gol pada lima perlawanan dilalui untuk meletakkan pasukan Pantai Timur itu di kedudukan teratas kumpulan A.

Muhamad Ridzwan berkata, dia kini mengumpul lima gol selepas diturunkan pada empat perlawanan sebelum ini terlepas satu perlawanan disebabkan kecederaan.

Katanya, kalau ada rezeki mungkin selepas ini dia dapat menambah lagi jaringan sekiranya jurulatih memberi kepercayaan untuk berada dalam pasukan.

"Saingan menjaringkan gol musim ini dilihat lebih terbuka musim ini apabila semua pemain Pahang Rangers yang diturunkan memiliki kelebihan masing-masing dalam merobek gawang lawan.

"Sebagai contoh, Amin Nasrollah yang begitu serasi dengan saya menjaringkan enam gol. Kami sama-sama memburu jaringan setiap kali diturunkan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, siapa yang menjaringkan gol untuk Pahang Rangers bukan ukuran utama untuk dinilai, yang paling utama ialah pasukan mencatat kemenangan diharapkan pada setiap perlawanan dilalui. Muhamad Ridzwan menambah, rekod perlawanan Pahang Rangers musim ini dianggap paling memuaskan apabila berjaya mencatat semua lima kemenangan dengan jaringan besar menewaskan Sabah, Kedah, Terengganu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KPT-PST Mustangs.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 6:48 PM