AKSI pemain Pahang Rangers, Matheus Gonzalez (kanan). FOTO MOHD RAFI MAMAT
AKSI pemain Pahang Rangers, Matheus Gonzalez (kanan). FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jumlah jaringan yang kini mencecah 36 gol membuktikan barisan pemain Pahang Rangers FC musim ini lebih berkesan dalam mencetuskan penyudah yang berkesan pada setiap perlawanan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023.

Lima perlawanan bertemu Sabah (9-1), KPT-PST Mustangs (7-1), Kedah (8-2), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (6-1) dan Terengganu (6-0) berakhir dengan kejayaan yang begitu membanggakan.

Berada di kedudukan teratas kumpulan A, skuad bimbingan Gerard Casas akan memulakan saingan seterusnya selepas ini bertemu Pulau Pinang di gelanggang lawan pada 20 April dan KPT-PST Mustangs di tempat sendiri pada 14 Mei depan.

Menurut Casas, dia memuji kemampuan barisan pemain Pahang Rangers musim ini apabila mampu menjaringkan gol pada setiap perlawanan yang dilalui.

Lima perlawanan mereka lalui dapat menghasilkan 36 gol untuk mencatat kemenangan selesa.

Katanya, 12 pemain kini tersenarai sebagai penjaring antara satu hingga enam gol. Mereka bangkit pada setiap perlawanan untuk membuktikan kebolehan yang dimiliki.

"Penjaring terbanyak kini milik pemain import kelahiran Iran, Amin Nasrollah Zadeh yang menyumbang enam gol diikuti pemain kebangsaan, Muhamad Ridzwan Bakri dan Farhan Khairul Anuar masing-masing dengan lima gol.

"Saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan semua pemain, mereka bangkit pada setiap perlawanan di tempat sendiri dan gelanggang lawan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, jumlah jaringan besar pada setiap perlawanan bukan yang terlalu dikejar, sebaliknya lebih utama kemenangan untuk meletakkan pasukan pada kedudukan lebih selesa kumpulan A.

Casas berkata, dia sentiasa mengingatkan pemain supaya sentiasa berusaha mengekalkan kecergasan dan berusaha memberi persembahan terbaik untuk kejayaan pasukan. Cabaran Pahang Rangers selepas ini pastinya lebih mencabar.

Bagi Amin Nasrollah, kejayaan dia menjaringkan enam gol hasil persefahaman rakan sepasukan, kami membentuk gandingan yang berkesan pada setiap perlawanan.

"Tidak mungkin saya dapat menyumbangkan jaringan tanpa sokongan rakan sepasukan, kami secara bersama memburu kemenangan pada setiap perlawanan yang dilalui.

"Saya berharap semangat berpasukan yang ada ini dapat terus kekal pada saingan seterusnya selepas ini dalam usaha Pahang Rangers memburu kejuaraan pertama MPFL 2023," katanya yang bercita-cita untuk muncul penjaring terbanyak musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 4:17 PM