CASAS harap rentak kejayaan yang dicatat sebelum ini dapat diteruskan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
CASAS harap rentak kejayaan yang dicatat sebelum ini dapat diteruskan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Rentak dua kemenangan perlawanan sebelum ini menjadi landasan buat Pahang Rangers FC untuk melakar kejayaan pada pertemuan dengan Kedah pada saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 di Stadium Tertutup SUKPA, di sini petang esok.

Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dibantu dengan sokongan peminat tempatan menjadi kelebihan kepada skuad bimbingan, Gerard Casas untuk menjinakkan lawan yang tidak kurang hebatnya.

Bagi Gerard Casas, prestasi barisan pemain Pahang Rangers kini berada di kemuncak terutama selepas mencatat dua kemenangan selesa dengan menewaskan Sabah 9-1 dan KPT-PST Mustang 7-1.

Katanya, rentak kejayaan yang dicatat sebelum ini diharap dapat diteruskan pada perlawanan ke tiga saingan MPFL petang esok, semangat kemenangan yang menebal dimiliki pemain akan mengiringi mereka sepanjang perlawanan.

"Semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan sedia diturunkan pada bila-bila masa diperlukan, lebih menarik lagi hampir semua pemain telah menjaringkan gol.

"Hanya pemain import, Amin Nasrollah Zadeh dan Mohd Ridzwan Bakri kini telah mengumpul tiga gol menerusi jaringan pada pertemuan dengan Sabah," katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, dalam usaha mencatat kemenangan dia telah mengingatkan pemain supaya tidak terlalu memandang rendah pada lawan, kelekaan akan mengundang padah.

Sementara itu, bagi Mohd Ridzwan walaupun gagal menyumbang gol untuk pasukan pada pertemuan KPT-PST Mustang namun dia tetap gembira dapat membantu pasukan mencatat kemenangan kedua.

"Pada pertemuan dengan Kedah esok saya akan berusaha memberi persembahan terbaik dalam usaha mencatat kemenangan yang diharapkan, seterusnya mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga musim ini.

"Beberapa kelemahan pasukan Pahang Rangers yang dikesan jurulatih sebelum ini telah diperbaiki pada sesi latihan, diharapkan kesilapan sama tidak terus berulang," katanya yang mengharapkan rakan sepasukan turun dengan misi kemenangan.

Mohd Ridzwan menambah, kehadiran penyokong setia Tok Gajah dapat menambah lagi semangat pemain, sorakan mereka menyuntik kesungguhan pemain untuk tampil melakar kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 2:22 PM