Lutfi (kiri); Aiman dan Cinta (kanan).
Lutfi (kiri); Aiman dan Cinta (kanan).
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Anak bongsu Allahyarham Datuk Hail Amir iaitu Lutfi Ameer, 26, memaklumkan ayahnya sering menitipkan pesanan kepada mereka agar sentiasa menjaga diri.

Menurutnya, dia juga bersyukur dapat mencipta banyak memori indah bersama bapanya semasa hayatnya ada.

"Memang tak dinafikan terlampau banyak kenangan dengan Papa. Dia seorang yang periang namun tegas tapi bertempat.

"Rumah tak sunyi kalau ada Papa, sekarang Papa tiada lagi. Saya anggap kehilangannya seakan perginya seorang figura yang sangat penting dalam hidup saya.

"Bukan sahaja sebagai bapa tapi sebagai inspirasi buat kami adik beradik," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini, hari ini.

Bagi Lutfi, biarpun ayahnya sudah tiada dan pergi buat selamanya, karya-karya seni baik lagu dan filem yang ditinggalkan Allahyarham akan terus menjadi pengubat rindu mereka sekeluarga.

"Saya anggap itu adalah peninggalan paling berharga dan bonus pada kami sekeluarga yang tidak semua orang ada.

"Ada sesetengah orang mungkin meninggalkan tanah atau harta tapi papa tinggalkan kami dengan karya agung yang tidak ternilai harganya. "Suaranya akan berkumandang sampai bila-bila," katanya.

Meskipun sedih, anak lelaki tunggal daripada empat adik-beradik ini bersyukur kerana bapanya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang dan mudah.

"Satu keluarga tahu yang Papa ada masalah buah pinggang tapi tidaklah teruk mana sebab sudah lama makan ubat.

"Semuanya normal sebelum dia mengadu sakit dan segera dikejarkan ke hospital sebab papa dalam keadaan lemah.

"Selepas menerima rawatan beberapa hari, keadaan dia nampak macam okay dan papa sempat bergurau lagi dengan saya seperti orang sihat, tak sangka dia pergi secepat ini," katanya.

Sementara itu, menantu Allahyarham Hail iaitu Muhammad Aiman Farhan Murza, 34, berkata, dia menganggap Allahyarham sebagai bapanya sendiri kerana sikapnya yang amat penyayang.

"Arwah penyayang terhadap cucu-cucunya dan saya sebagai menantu. Saya dah 15 tahun bersama keluarga ini dan dapati arwah sangat hebat.

"Saya dah anggap dia sebagai bapa sendiri kerana ayah saya dah meninggal dunia. Memang banyak kenangan indah dengan arwah. "Kebetulan semalam adalah hari ulang tahun anak keempat anak saya, Cahaya Alis Qeisya, 7 tahun.

"Kelmarin, isteri saya sempat cakap dengan arwah, Papa kena cepat sihat sebab nak raikan birthday Qeisya.

"Dia jawab baik-baik. Tak sangka dia pergi semalam. Jadi tarikh ini kekal diingati dengan dua kenangan tersendiri," katanya yang berkahwin dengan Cintashafiyana, 34, dan mempunyai enam cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 4:06 PM