UiTM Shah Alam membawa pulang trofi dan wang tunai RM15,000. FOTO KPT
UiTM Shah Alam membawa pulang trofi dan wang tunai RM15,000. FOTO KPT
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Mara kampus Shah Alam (UiTM Shah Alam) terus membuktikan mereka cukup sukar digugat apabila muncul juara di Divisyen 1, kejohanan Liga Bola Sepak IPT (LBSIPT) 2022/ 2023.

Kemenangan itu menyaksikan UiTM Shah Alam mencatatkan kejuaraan untuk kali keenam sekali gus membolehkan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM15,000.

Sebanyak 13 pasukan telah berentap dalam Divisyen 1 LBSIPT 2022/ 2023 bermula 3 Disember 2023 dan berakhir pada 25 Februari lalu.

Selain itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkul gelaran naib juara liga dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000 manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tempat ketiga sekali gus membawa pulang RM8,000.

Univeriti Teknologi MARA (UiTM Perlis) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing di tempat keempat dan kelima dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM3,000.

Kejayaan bersejarah UiTM Shah Alam juga membolehkan mereka mengetuai 12 pasukan yang layak beraksi bagi merebut Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023 yang dijangka berlangsung pada bulan September hingga Oktober depan.

11 pasukan lain yang bakal mengiringi UiTM beraksi di Piala Menteri Pendidikan Tinggi adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA Perlis (UiTM Perlis), Universiti Putra Malaysia (UPM), Multimedia University (MMU), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Politeknik Malaysia (Poli Malaysia), Universiti Malaya (UM) dan Cyberlynx International College (Cyberlynx Int College).

Kejayaan UiTM Shah Alam itu turut menyaksikan dua pemain mereka berkongsi gelaran penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan jaringan menerusi Muhammad Zharif Nazhan Refli dan Muhammad Harith Akif Mohd Shahar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 5:03 PM