UiTM mengesahkan kejuaraan kali ketujuh berturut-turut dalam kejohanan Liga Bola Sepak IPT (LBSIPT) Divisyen 1bagi musim 2023/2024.
UiTM mengesahkan kejuaraan kali ketujuh berturut-turut dalam kejohanan Liga Bola Sepak IPT (LBSIPT) Divisyen 1bagi musim 2023/2024.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Mara kampus Shah Alam (UiTM Shah Alam) terus membuktikan tiada siapa mampu menggugatkan mereka apabila muncul juara Divisyen 1 Kejohanan Liga Bola Sepak IPT (LBSIPT) 2023/2024 untuk tahun ketujuh berturut-turut.

Lebih manis, UiTM Shah Alam menutup perlawanan terakhir LBSIPT di hadapan penyokong setia dengan rekod tanpa kalah sekali gus membawa pulang trofi serta wang tunai RM15,000.

Dalam perlawanan terakhir LBSIPT yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terlebih dahulu bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi jaringan Muhammad Akmal Afnan shahridzan namun ia tidak bertahan lama apabila pemain tuan rumah, Muhammad Fakhrul Razi Khairi Anuar menyamakan kedudukan 1-1.

Meskipun UKM terpaksa bermain 10 orang selepas Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan menerima layanan kad kuning kedua pada minit ke-54 sekali gus terpaksa meninggalkan padang akan akan tetapi tiada tambahan jaringan berlaku sehingga permainan tamat.

Sementara itu, Muhammad Nazrul Afiq Mohd Tajidin dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya memperoleh kasut emas selepas mengumpul lapan jaringan sepanjang liga.

Meskipun tidak mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir, UKM boleh berbangga dengan pencapaian mereka selepas berjaya membaiki kedudukan musim lalu apabila menamatkan saingan di tangga kedua untuk membawa pulang RM12,000 sementara tempat ketiga pula dimenangi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan hadiah wang tunai sebanyak RM 8,000.

Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) masing-masing di tempat keempat dan kelima dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM3,000.

Untuk rekod, sebanyak 13 pasukan telah berentap dalam Divisyen 1 LBSIPT 2023/2024 bermula 7 November 2023 dan berakhir pada 17 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 7:59 PM