TUANKU Zara Salim (kanan) berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 2023 kepada Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan (kiri). FOTO Bernama.
TUANKU Zara Salim (kanan) berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 2023 kepada Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan (kiri). FOTO Bernama.
Ihsan Noorzali


Tanjong Malim: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman 2023 kepada tokoh bahasa, Senator Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan sempena Sambutan Hari Guru Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Awang Sariyan adalah pakar dalam bidang linguistik dan perancangan bahasa, tamadun alam Melayu serta persuratan pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Anak kelahiran Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor ini pernah menyandang Kursi Za'ba di UPSI, serta penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di Beijing dan menjadi Profesor Tamu di beberapa universiti terkemuka antarabangsa.

Sepanjang kerjaya, beliau menerbitkan 70 buku ilmiah, umum, teks serta himpunan puisi dan menerbitkan lebih 500 makalah dalam jurnal; majalah dan surat khabar serta lebih 200 kertas kerja dan syarahan disampaikan seluruh pelosok dunia.

Awang menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, selempang tokoh serta sijil iringan.

Selain anugerah itu, Tuanku Zara turut berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Guru Alumni kepada sembilan penerima antaranya Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Hamdan Bahari; Sasterawan Negara 2022, Datuk Rahman Shaari; Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia dan Prof Adjung Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Profesor Dr. Abdul Halim Ali dan komposer terkenal Rozman Shafie (LY).

Baginda yang juga Canselor UPSI juga berkenan mengurniakan Anugerah Guru Cemerlang kepada 23 penerima.

Penerima Anugerah Tokoh Guru Alumni dan Anugerah Guru Cemerlang membawa pulang duit syiling 'Peringatan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI' dan sijil iringan.

Sementara, Naib Canselor, Prof Datuk DrMd Amin dalam ucapannya berkata, Sambutan Hari Guru dianjurkan setiap tahun bagi menghargai jasa pengorbanan guru yang menabur bakti mendidik bangsa tanpa jemu.

"Jika ditelusuri sejarah tanah Muallim, di sini lahirnya ramai insan termulia yang bergelar guru yang berbakti di seluruh negara.

"UPSI melahirkan legasi pendidikan di seluruh negara, bermula dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) sehingga terukirnya nama tokoh guru yang hebat Pendeta Za'ba, Aminuddin Baki, Tun Rahman Abbas, Ibrahim Haji Yaakub, Tun Abdul Ghafar Baba dan ramai lagi tokoh pendidik yang memberi inspirasi kepada kita dalam menabur bakti sebagai warga pendidik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 11:53 PM