INFANTINO (dua dari kanan) memberi tepukan kepada pemain Thailand yang muncul juara Piala AFF di Bangkok, Isnin lalu. FOTO AFP
INFANTINO (dua dari kanan) memberi tepukan kepada pemain Thailand yang muncul juara Piala AFF di Bangkok, Isnin lalu. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik dan menyokong jika penganjuran Piala AFF pada masa akan datang diselaraskan dengan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Ini kerana, Presiden Fifa, Gianni Infantino mahu Piala AFF itu 'dinaik taraf' untuk menjadi sebahagian daripada pertandingan di bawah badan induk bola sepak dunia itu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menjelaskan, ia satu perkara positif jika Piala AFF akan dimasukkan dalam kalendar badan bola sepak dunia itu.

"Ia kenyataan daripada Presiden Fifa sendiri, jadi kita menyokong. Perkara yang bagus beliau sarankan untuk kalendar Piala AFF diselaraskan dengan kalendar badan induk bola sepak dunia itu," katanya.

Terdahulu, Infantino hadir menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF 2022 antara Thailand dan Vietnam di Bangkok, Isnin lalu.

Malah, beliau diberi penghormatan menyampaikan trofi kepada kapten Thailand, Theerathon Bunmathan selepas skuad Gajah Perang mengesahkan kejuaraan kali ketujuh menerusi agregat 3-2.

Ketika ini, Piala AFF tidak berada dalam kalendar pertandingan Fifa dan kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain mereka yang dipanggil skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan terbabit.

Situasi itu menyaksikan beberapa negara bertanding tidak dapat menyediakan pasukan terbaik untuk bersaing di Piala AFF yang berlangsung dua tahun sekali.

Oleh itu, seandainya impian melihat Piala AFF berada di dalam kalendar Fifa menjadi kenyataan, saingan lebih kompetitif dapat disaksikan dalam kalangan pasukan negara di rantau Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 4:54 PM