INFANTINO meraikan pemain Thailand yang muncul juara Piala AFF di Bangkok.
INFANTINO meraikan pemain Thailand yang muncul juara Piala AFF di Bangkok.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas dianjurkan hampir tiga dekad sejak 1996, adakah edisi kejohanan berprestij Piala Persekutuan Bolasepak Asean AFF) seterusnya bakal mendapat tempat dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa)?

Persoalan itu timbul selepas Presiden Fifa Gianni Infantino berkongsi pandangan Piala AFF wajar berada dalam kalendar Fifa, seperti dilaporkan media antarabangsa ketika beliau hadir menyaksikan final kedua Piala AFF 2022 antara Thailand dan Vietnam di Pathum Thani, Thailand, Isnin lepas.

Infantino juga dilaporkan percaya sekiranya terdapat kerjasama, kejohanan yang mendapat julukan 'Piala Dunia Asia Tenggara' itu akan lebih berkembang menerusi perubahan signifikan tersebut.

Sejak dianjurkan, Piala AFF menjadi kejohanan yang menawarkan mata ranking bermula edisi 2016, namun sehingga kini ia masih belum berada dalam kalendar Fifa menyebabkan banyak kelab di rantau ini 'berkira-kira' untuk melepaskan pemain masing-masing bagi mewakili pasukan negara mereka.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat sudah tiba masa Piala AFF berada dalam kalendar badan induk bola sepak dunia itu demi manfaat yang lebih baik kepada semua negara bertanding.

"Kalau Fifa nak masukkan dalam kalendar mereka ia satu penghormatan tinggi untuk bola sepak Asean sebab ia akan memberi mata ranking lebih tinggi kepada pasukan di rantau ini yang pertamanya.

"Kedua, semua negara akan pandang serius nilai Piala AFF, jadi tak timbul lagi isu kejohanan ini tidak penting kerana di luar kalendar FIFA dan tiada masalah untuk pasukan menurunkan pemain terbaik," katanya semalam.

Mengakui jadual melibatkan pasukan yang bertanding akan menjadi lebih padat bagi tahun Piala AFF dianjurkan, beliau bagaimanapun tidak melihat sebarang masalah untuk perubahan itu dilaksanakan pada penganjuran edisi 2024.

Katanya, AFF perlu tetapkan tarikh kejohanan lebih awal dan mencari waktu sesuai berdasarkan jadual liga negara-negara bertanding.

Sementara itu, kepadatan jadual sedia ada membuatkan bekas pengendali skuad kebangsaan B. Sathianathan merasakan agak mustahil Piala AFF dapat dimuatkan dalam kalendar Fifa.

"Kalendar perlawanan semakin padat, pemain di seluruh dunia pun ramai sudah bising, pemain juga kena berehat. Saya tak kata tak boleh masuk dalam kalendar Fifa, tetapi macam mana dengan pertandingan dan pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang sedia ada dalam kalendar?.

"Banyak sebenarnya kejohanan bola sepak serantau, bukan sahaja Piala AFF. Adakah kejohanan yang lain itu juga dijalankan dalam kalendar Fifa? Bagi saya Piala AFF lebih baik bagi skuad Bawah 23 (B-23) Tahun yang main," kata jurulatih berusia 64 tahun itu.

Bagaimanapun, beliau berkata idea menyenaraikan Piala AFF dalam kalendar FIFA masih boleh diterima.

Sebagai rekod, sebanyak 10 negara mengambil bahagian dalam Piala AFF 2022 yang menyaksikan Thailand dinobatkan juara selepas menewaskan Vietnam 3-2 secara agregat sementara Malaysia terkandas di pentas separuh akhir.

Selepas 14 edisi penganjuran Piala AFF, Thailand muncul pasukan paling berjaya dengan rekod tujuh kejuaraan diikuti Singapura (empat), Vietnam (dua) dan Malaysia sekali iaitu pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 9:19 AM