NAFUZI Zain. -FOTO Luqman Hakim Zubir
NAFUZI Zain. -FOTO Luqman Hakim Zubir
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC Nafuzi Zain mahu memastikan keharmonian dalam pasukan berada dalam keadaan terbaik sebelum mengharungi saingan Liga Super musim 2023.

Nafuzi berkata, perkara itu dilakukan ketika beliau membimbing Terengganu FC musim lalu sekali gus dilihat antara elemen penting pasukan meraih kejayaan positif.

Katanya, beliau perlu menilai karakter setiap anak buahnya dengan mendalam sebaik sahaja latihan pertama bermula bagi memastikan mereka mempunyai persefahaman yang tinggi sebelum sepak mula nanti.

Sudah pasti, bukan mudah untuk mengekalkan prestasinya selaku Jurulatih Terbaik ABK22 musim lalu apabila berjaya meletakkan Terengganu di tahap cemerlang dan tekad untuk mengharungi cabaran lebih sukar bersama Kedah musim ini.

"Saya tidak boleh nak beri gambaran awal mengenai perancangan saya, tetapi apa yang saya ingin lakukan adalah untuk mengenali pemain-pemain dengan lebih dekat.

"Bukan sahaja di dalam padang, tetapi juga di luar padang sebab itu adalah elemen yang penting untuk mencipta hubungan lebih baik antara jurulatih dan pemain.

"Yang penting, saya kena tahu bagaimana karakter mereka semua dan saya tahu pasti akan ada lebih banyak cabaran kali ini.

"Cuma bagi saya cabaran itu adalah normal untuk kita selaku jurulatih, dan kalau kita ingin menjadi lebih bagus, kita kena harungi cabaran yang lebih besar pula", katanya.

Selain itu, Nafuzi berkata, beliau teruja apabila kehadirannya ke Kedah disambut dengan baik sambil mengharapkan mereka akan terus memberikan sokongan yang padu kepada skuad ini sepanjang saingan liga musim 2023.

"Perasaan bercampur baur juga dengan tempat baru dan suasana yang lebih berbeza kali ini, sudah tentu saya teruja.

"Sebelum ini saya sudah biasa dengan suasana di Terengganu apabila dah lama di sana selain dengan sokongan penyokong Terengganu yang turut saya terima.

"Kali ini di Kedah, saya tengok penyokong semua memang bersemangat dan saya menghargai layanan daripada mereka", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 1:44 PM