PAN-gon hargai sumbangan pemain.
PAN-gon hargai sumbangan pemain.
Daripada Syafiq Aznan di Bangkok


Bangkok: Ketika skuad yang dibarisi dengan pemain dilabel ramai sebagai 'Harimau B' layak ke separuh akhir Piala AFF 2022, sudah timbul desakan daripada penyokong supaya skuad ini dikekalkan ke Piala Asia 2023.

Penyokong beranggapan pemain yang mengorbankan segalanya untuk membantu negara di pentas Piala AFF 2022 sewajarnya terus diberi kepercayaan untuk beraksi di kejohanan yang akan berlangsung di Qatar itu.

Namun pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelaskan semua pemain akan mengharungi sesi penilaian secara menyeluruh bagi menentukan masa depan mereka bersama skuad kebangsaan.

"Mereka datang untuk membantu negara selepas ada pemain tidak dapat menyertai pertandingan yang berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"Satu nilai yang besar apabila mereka memberikan segalanya tetapi kita perlu melakukan penilaian kepada semua pasukan dan ia bergantung kepada penilaian ini.
"Mungkin ada antaranya (pemain) yang akan terus bersama kita dan mungkin juga perjalanan sebilangan pemain bakal berakhir.

"Kita tidak tahu mengenai itu tetapi pada saya, saya tidak mahu terlalu berfikir mengenainya," katanya.

Sebagai rekod, perjalanan skuad negara di pentas Piala AFF 2022 berakhir di peringkat separuh akhir selepas tewas 3-0 di tangan Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, semalam.

Kejayaan mara ke separuh akhir pada kempen kali ini sudah cukup untuk memperbaiki pencapaian edisi lalu di Singapura selepas skuad negara tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 1:17 PM