DARREN Lok percaya sokongan berterusan rakyat Malaysia. -FOTO Bernama
DARREN Lok percaya sokongan berterusan rakyat Malaysia. -FOTO Bernama
Daripada Syafiq Aznan di Bangkok dan Thailand


Bangkok: 'Jauh di mata dekat di hati.'

Itulah yang dirasai penyerang negara, Darren Lok meskipun sedar kemeriahan pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di laman sendiri tidak akan diulangi pada aksi kedua di Stadium Thammasat, esok.

Namun Darren yang bakal menyertai Sabah FC bagi musim depan tetap percaya rakyat Malaysia akan sentiasa memberi sokongan kepada Harimau Malaya sekalipun dibezakan beribu batu jauhnya.

"Thailand ada penyokong di tempat sendiri dan kami juga mahukan kehadiran penyokong skuad negara yang besar seperti sebelum ini.

"Tetapi walaupun mereka tiada di sini, kami tahu mereka sentiasa berada di belakang kami dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Dengan motivasi yang semangat yang diberikan, kami harap dapat terus memberi kejayaan buat pasukan," kata Darren.

Dalam masa sama, penyerang berusia 32 tahun itu memberi jaminan betapa rakan sepasukannya akan terus memberikan yang terbaik dan berjuang demi nama Malaysia.

"Sudah tentu kita perlu terus konsisten walaupun kita tahu Thailand adalah satu pasukan yang kuat. Kemenangan di Piala Raja Thailand sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran.

"Sebagai seorang penyerang, saya harap peluang itu ada pada aksi kedua nanti dan saya dapat menjaringkan satu lagi gol buat negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 1:21 PM